33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Jaminan Kerajaan kepada pendeposit TH terus dipertahan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mempertahankan jaminan terhadap 9 juta pendeposit tetap Tabung Haji dan apa yang digembar-gemburkan dalam media sosial adalah terpesong daripada kenyataan sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tajuk yang digunakan oleh media terbabit sama sekali tidak menggambarkan pendirian kerajaan.

Beliau berkata, perbincangan beliau dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam hanya berkisar isu-isu penstrukturan semula yang bakal membawa keberhasilan yang tinggi khususnya bagi manfaat para pendeposit Tabung Haji.

DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

“Kerisauan yang dibangkitkan oleh segelintir pihak berkenaan adalah di luar fokus perbincangan semalam.

“Saya ingin menegaskan bahawa Jaminan Kerajaan kepada lebih 9 juta pendeposit tetap terus dipertahankan. Tabung Haji adalah kebanggaan dan harapan umat Islam di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook hari ini.

Sebelum ini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menentang keras sebarang usaha kerajaan Perikatan Nasional menyemak semula ketetapan jaminan kerajaan terhadap Tabung Haji.

Ini termasuk kemungkinan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang bakal menjejaskan wang pendeposit dalam agensi itu.

Laporan sebuah media yang dikatakan terpesong daripada kenyataan sebenar.

Zulkifli berkata, prestasi cemerlang Tabung Haji sejak peralihan kerajaan berjaya membuktikan kestabilan tadbir urus agensi berkenaan.

Katanya, ini dapat dibuktikan antaranya menerusi pembelian Menara VSQ1 daripada Bukit Damansara Development Sdn. Bhd. manakala jumlah deposit pula mencapai RM75.9 billion sehingga 30 Disember 2020.

“Kita berada di landasan yang betul dan dengan sokongan umat Islam di Malaysia, amanah umat Islam untuk melihat Tabung Haji terus menapak ke hadapan akan dijunjung setingginya,” katanya.

Terkini

Rancang pembangunan saksama di semua negeri – Sultan Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua bandar di...

Lagi Artikel Berkaitan