30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Elok SUA UMNO rujuk pakar supaya lebih cerdik – Annuar

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Hubungan Tan Sri Annuar Musa dengan pucuk pimpinan parti kelihatan semakin tidak sehaluan apabila kali ini bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu membidas penggantinya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan seolah-olah menganggap Ahmad tidak cerdik soal undang-undang apabila mengeluarkan arahan agar semua Ahli Parlimen UMNO membuat gesaan terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

“SUA UMNO menulis kepada Ahli Parlimen (BN) dan memberi masa kurang dari 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang Parlimen, kononnya di bawah Perkara 150 (3) PP.

“Elok SUA UMNO itu rujuk constitutional expert supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” katanya menerusi akaun twitter hari ini.

Annuar turut menyertakan surat balasan beliau kepada Ahli Parlimen Pontian itu.

Menerusi surat tersebut Annuar mendakwa Ahmad telah melanggar etika berorganisasi, menghina parti dan cubaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, arahan Ahmad itu tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh parti dan bercanggah dengan kenyataan akhbar Presiden UMNO sebelum ini yang menjunjung titah Tuanku yang memperkenankan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga satu usaha jelas untuk terus bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh Ahli Parlimen.

“Justeru saya meminta Datuk Seri menarik balik surat tersebut dan saya tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan yang tidak constitutional serta bercanggah dengan dasar dan keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) parti,” katanya.

Annuar yang sebelum ini antara pemimpin UMNO paling lantang mempertahankan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional berkata, surat Ahmad bertarikh semalam itu mengandungi kesilapan besar dalam mentafsirkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Tangkap layar Twitter Annuar Musa yang ditujukan kepada Ahmad Maslan.

Katanya, Perkara 150 (3) yang dirujuk adalah bermaksud untuk membentangkan (bagi tujuan pemakluman kepada Parlimen) tentang proklamasi dan ordinan atau undang-undang yang dibuat bagi tujuan pengisytiharan darurat.

“Perkara 150 (3) adalah bermaksud proklamasi dan ordinan perlu dibentang setelah Parlimen bersidang.

“Fasal 150 (3) tidak menyatakan atau tidak bermaksud mensyaratkan Parlimen bersidang secepat mungkin atau mewajibkan Parlimen bersidang serta-merta selepas proklamasi darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi surat balasan tersebut.

Jelas beliau, setelah proklamasi dibuat di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak lagi bersidang dan hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos ini.

“Setelah dimasyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa) Perlu 2021 yang menangguhkan persidangan Parlimen, maka ordinan ini adalah terpakai dan menjadi undang-udang yang mengikat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan