30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

”Bunyi bising itu…‘alih perabot’ saja’’ – Hadi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan ketegangan yang tercetus berikutan kenyataan daripada pemimpin UMNO, Bersatu dan Pas dianggap permasalahan dalaman ibarat ‘mengalih perabot’ di dalam rumah.

Katanya, beliau yakin masalah itu mampu diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan ketiga-tiga parti itu kini merupakan satu keluarga.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas akan bertindak sebagai orang tengah atau pendamai dalam menyelesaikan kekusutan yang berlaku melibatkan UMNO dan Bersatu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, gabungan berkenaan dijamin akan membentuk satu kerjasama lebih erat dan utuh khususnya dalam membawa suara perpaduan Melayu Islam termasuk bagi menghadapi PRU-15.

“Kami (Pas, UMNO, Bersatu) sudah berkeluarga, (kami) duduk satu rumah sekarang ini, semua itu parti Melayu, UMNO parti Melayu, Bersatu parti Melayu;

”Kita utamakan perpaduan Melayu Islam dulu, dalam masa yang sama menyedari masyarakat majmuk mesti bekerjasama dengan kita. Jadi urusan UMNO, Bersatu, Pas ini urusan dalam rumah, kadang-kadang orang tengok kita bising itu, ‘alih perabot’ saja,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita di Alor Setar seperti dilapor Astro Awani.

Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu yang melibatkan Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional dan Pas bersama Bersatu menerusi gabungan Perikatan Nasional masih belum dapat dimuktamadkan selagi tarikh sebenar PRU-15 belum diumumkan.

Katanya, setakat ini sebarang pengesahan mengenai pembahagian kerusi membabitkan parti Pas masih belum dapat dibuat kerana pertukaran serta perubahan masih boleh dilakukan sebelum tarikh sebenar dimuktamadkan kelak.

“Pilihan raya tidak tahu lagi bila, tahu pilihan raya barulah kita dapat selesaikan, InsyaAllah bila tahu pilihan raya kita akan dapat tentukan (pembahagian kerusi).

“Perkara itu boleh berubah, saya tidak boleh beritahu sekarang, boleh adjust (ubah) lagi mana perlu, tukar tukar sini mana perlu, belum muktamad lagi, tetapi kita buat keputusan (untuk) serah (proses perundingan pembahagian kerusi) kepada (Pas) Pusat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menegaskan bahawa perlaksanaan PRU-15 dalam tempoh terdekat amat tidak sesuai terutama ketika negara menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

“Time (waktu) ini tidak wajar, masih ada (kes-kes berkaitan) COVID, banjir (pula) tidak tahu lagi hendak atasi, mangsa banjir pun tidak (dapat) selesai (masalah mereka) lagi, biar selesai semua (perkara ini) baru boleh kita fikir (untuk adakan) pilihan raya,” katanya lagi.

Terkini

Pembelaan Zahid terhadap Najib tulus sejati, tidak pernah dijaja

PEMBELAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap rakan sejatinya, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tulus dan...

Lagi Artikel Berkaitan