28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Apa nasib APAD di bawah kerajaan PN?

Mesti Baca

Oleh MOHAMMED NIZHAM ABDULLAH HAMIDI 

1. Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) menyambut baik pengumuman bajet tambahan yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri semalam melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM 15 Billion.

2. Kami juga amat menghargai keprihatinan YAB Perdana Menteri terhadap sektor pengangkutan awam negara yang juga menjadi nadi ekonomi bandar seperti Bandaraya Kuala Lumpur berjumlah RM 66 juta terutamanya di dalam membantu pemandu-pemandu pengangkutan awam darat seperti teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing memandangkan mereka antara pihak-pihak yang paling terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sektor pengangkutan.

3. Namun yang demikian, kami juga menerima beberapa aduan yang melibatkan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang juga bertanggungjawab di dalam menguruskan bantuan-bantuan ini di samping melaksanakan tugas-tugas hakiki di dalam menguruskan perkhidmatan pengangkutan awam darat negara. 

4. Apa yang mengejutkan, rata-rata pegawai APAD kini menunggu untung nasib mereka sama ada masih mempunyai pekerjaan atau tidak pada bulan in. Ini kerana, kami difahamkan kontrak perkhidmatan mereka telah pun tamat pada Disember 2020 dan ada sebilangan besar daripada mereka masih ternanti-nanti kontrak sambungan mereka. Malah, lebih menyedihkan mereka juga tertanya-tanya jika gaji mereka pada bulan Januari 2021 akan dibayar atau tidak.

5. PPUWP merasakan adalah tidak adil untuk kerajaan membiarkan mereka yang banyak menyumbang kepada pembangunan pengangkutan awam darat negara semenjak tahun 2010 hidup seperti gantung tidak bertali. Kami di PPUWP amat yakin bahawa keadaan yang mereka alami semenjak pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberi kesan lansung kepada tahap produktiviti mereka. Kami juga difahamkan bahawa terdapat seorang staf yang telah meninggal dunia disebabkan Covid-19 di rumah sewa beliau selepas demam selama seminggu. Beliau tidak mampu untuk ke klinik hanya disebabkan tidak mempunyai keupayaan kewangan kerana tidak mengetahui status pekerjaan beliau dengan APAD.

6. Kita sedia maklum akan pentingnya sistem pengangkutan awam darat yang efisen di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Namun yang demikian, bukan sahaja kerajaan PH malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga kami lihat masih tercari-cari hala tuju sistem pengangkutan negara termasuklah kedudukan APAD di dalam membantu kerajaan menggubal dasar dan melaksanakan pelan-pelan pengangkutan awam yang dirancang.

7. Kami di PPUWP mempunyai beberapa soalan yang memerlukan jawapan daripada kerajaan PN berkaitan hal ini:

           A. Pertama; apakah perancangan kerajaan di dalam memastikan agensi seperti APAD dapat berfungsi dengan berkesan di dalam menyokong pembangunan pengangkutan awam darat negara? Pembubaran SPAD merupakan satu kesilapan besar kerajaan PH dan kami sedia maklum akan penglibatan YAB Perdana Menteri semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Dato’ Sri Najib Razak yang menyokong penubuhan SPAD sebagai agen transformasi pengangkutan awam darat negara. 

Kini APAD seolah-olah berfungsi sebagai Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang fungsinya hanya menguruskan hal-hal berkaitan perlesenan. Satu tidakkan kebelakang oleh kerajaan PH yang perlu diperbaiki oleh kerajaan hari ini

         B. Apakah pelan jangkamasa panjang bagi pegawai-pegawai APAD? Kami dimaklumkan bahawa mereka ditawarkan kontrak selama 2 tahun dengan potongan gaji sehinggaa 70% pada 2018. Ini telah menyebabkan negara kehilangan pakar-pakar pengangkutan awam kepada pemain-pemain industri di dalam dan luar negara. 

8. Kini setelah tamat kontrak 2 tahun, mereka sekali lagi ditawarkan kontrak yang sama. Ini adalah satu keadaan yang tidak adil kepada pegawai-pegawai APAD yang sekaligus merencatkan tahap produktiviti mereka dan memberi kesan lansung kepada pembangunan pengangkutan awam negara.

9. Kami berharap, kerajaan PN mampu memberikan pencerahan dan penerangan berdasarkan dua soalan yang kami ajukan. Kami di PPUWP juga amat berharap agar kerajaan PN memperjuangkan juga nasib-nasib pegawai di APAD yang menjadi denyut nadi pembangunan pengangkutan awam negara. Mereka amat mengharapakan keadilan daripada kerajaan PN hasil kesilapan kerajaan PH. 

10. PPUWP juga amat mengharapkan kerajaan untuk lebih fokus di dalam menetukan halatuju pembangunan pengangkutan awam negara. Kami yakin, dengan perancangan yang teliti dan baik, ia mampu untuk menyokong pemulihan ekonomi negara sekaligus membantu menambahbaik keperluan mobiliti di masa akan datang. Jika kerajaan boleh peruntukkan RM 85 juta untuk penubuhan semula JASA, takkkanlah kerajaan hendak tutup mata dengan keadaan APAD.

  • Mohammed Nizham ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan