27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Misteri keterujaan luar biasa DAP

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh: MOHAMAD ASRI

Ketika krisis politik di Perak sedang hangat mendidih dengan tidak nampak jalan keluar kepada pembentukan kerajaan negeri baharu, UMNO tiba-tiba mengusulkan beberapa cadangan termasuk penjajaran baharu politik bagi memastikan kerusi Menteri Besar menjadi milik parti itu.

Salah satu cadangan ialah mengadakan kerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah, parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), parti yang menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan UMNO hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Bagai pepatah ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’, DAP tidak menunggu lama menyambut ‘pinangan luar biasa’ itu walaupun kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipercayai hanyalah satu daripada beberapa pilihan cadangan.

Difahamkan UMNO telah menyediakan beberapa kaedah iaitu pilihan pertama masih lagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu manakala pilihan kedua ialah membentuk kerajaan bersama PKR dan Amanah tanpa DAP.

Pilihan ketiga ialah membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’ dengan parti yang memperoleh sokongan majoriti akan dilantik sebagai Menteri Besar manakala pilihan keempat pula membentuk kerajaan dengan DAP walaupun DAP pada dasarnya tidak akan meninggalkan PKR dan Amanah.

Walaupun cadangan mengadakan kerjasama dengan DAP merupakan pilihan terakhir setelah semua pilihan yang lain gagal, ‘minat luar biasa’ yang ditunjukkan oleh DAP untuk membentuk kerajaan negeri bersama UMNO – sesuatu yang sangat janggal pada mata pemerhati dan penganalisis politik tanah air.

Malah belum pun habis Zahid menghadap Sultan Perak di Istana Kinta di Ipoh, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming seolah-olah tidak sabar mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Menurut Kor Ming, kesediaan DAP negeri untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan dua perkara bahawa DAP adalah sebuah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.

DAP juga mahu membuktikan momokan parti itu ”anti-Melayu atau anti-Islam” selama ini adalah tidak benar sama sekali. Kesediaan DAP menurut Kor Ming, adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk ”sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip urusan tadbir yang baik”.

DAP Perak menetapkan syarat agar satu perjanjian bertulis diemeterai sekiranya cadangan kerjasama dengan UMNO mencapai kata sepakat. Mengapa DAP bersungguh benar dengan cadangan ini walaupun peluang tersebut agak tipis?

Sebahagian jawapannya sudah ada di atas. DAP sangat-sangat memerlukan seorang rakan yang boleh digunakan bagi mendekatkan parti itu dengan orang Melayu/Islam yang menjadi kumpulan pengundi terbesar dalam setiap pilihan raya umum.

Setelah pelbagai usaha dibuat untuk mendekati pengundi Melayu/Islam termasuk mempertaruhkan beberapa muka Melayu dalam pilihan raya tetapi masih gagal ”melunturkan imej anti-Melayu dan anti-Islam”, inilah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.’

Walaupun sudah bersahabat dengan PKR dan Amanah, kedua-dua parti itu tidak cukup Melayu/Islam kepada DAP. DAP pernah cuba dengan Bersatu tetapi Bersatu cepat ‘menghidu bau tidak enak’ pada DAP.

DAP pada mata orang Melayu Islam tetap dilihat sebuah parti cauvinis, anti-Melayu dan anti-Islam dan imej itu telah berakar umbi dalam kepala dan pemikiran orang Melayu sehingga menjadi beban yang tidak tergalas oleh DAP.

Sekurang-kurangnya dengan berbaik dan merangka kerjasama dengan UMNO, DAP sedikit sebanyak dapat mengikis imej dan tuduhan sebagai parti cauvinis kepada sebuah parti yang lebih sederhana dan ‘tidak memusuhi’ orang Melayu.

Kepada DAP, jika UMNO boleh berlapang dada dan menghulur salam persaudaraan kepada DAP, lama kelamaan orang Melayu Islam juga akan berlapang dada dan menerima dengan hati dan fikiran terbuka, DAP sebagai rakan kerjasama dan ‘saudara baharu’ orang Melayu Islam di negara ini.

Dalam pada itu juga DAP mahu melihat pembentukan kerjasama dengan UMNO di peringkat kerajaan negeri sebagai pembuka jalan untuk meneroka pelan dan rancangan yang lebih besar di peringkat pusat.

Sekiranya ini menjadi kenyataan, model pembentukan kerajaan UMNO-DAP ini akan cuba dibawa ke peringkat pusat dan sasarannya sudah tentulah undi tidak percaya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

DAP tidak pernah berputus asa mahu menjatuhkan kerajaan PN menerusi undi tidak percaya. Hampir setiap hari dalam Sidang Dewan Rakyat ahli-ahli Parlimen DAP bersuara meminta diadakan undi percaya atau undi tidak percaya kepada kerajaan PN.

DAP percaya perkara ini boleh berlaku dengan rekod sokongan Presiden UMNO ke atas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum terpadam lagi dalam sejarah politik tanah air.

Terbaharu pada bulan Oktober lalu, ketika Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara diam-diam didakwa menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Persoalannya adakah UMNO terlalu lurus untuk mempercayai `keterujaan luar biasa’ dan ‘salam persaudaraan’ DAP itu? Sudah bersediakah UMNO untuk berhadapan dengan gelombang penolakan orang Melayu Islam jika UMNO dan DAP akhirnya membentuk kerajaan di Perak?

Ingat UMNO bukan satu-satunya parti mewakili orang Melayu Islam di negara ini. Orang Melayu masih ada Bersatu dan Pas.

  • Mohamad Asri adalah pemerhati politik. Tulisan ini adalah pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan