27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 30, 2024

UMNO, Pas setuju jadi parti teras Muafakat Nasional

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas telah bersetuju untuk menjadi parti teras Muafakat Nasional (MN) apabila pakatan itu didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, justeru tidak timbul langsung soal Pas memberi kata dua tidak mahu kerjasama dengan UMNO tanpa Bersatu.

Menurut beliau, keputusan Jawatankuasa Induk Perundingan MN itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di PWTC Rabu lalu.

“Tidak tepat apa yang didakwa dan dilaporkan oleh Malaysiakini kerana keputusan Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional Rabu lepas bersetuju untuk mendaftar Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas sebagai dua parti teras mewakili Bumiputera-Melayu-Islam.

“Tidak timbul langsung soal Pas beri kata dua tidak mahu kerjasama dengan UMNO tanpa Bersatu,” katanya menerusi Facebook beliau malam tadi.

Malaysiakini sebelum ini memetik kenyataan Setiausaha Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO jika tanpa Bersatu.

Portal itu melaporkan Annuar sebagai berkata bahawa UMNO tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang hanya bersama Pas sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu.

Ini memandangkan Pas bertegas bahawa UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu.

Asyraf berkata, Malaysiakini perlu memperbetulkan laporan tersebut kerana ia boleh mencetuskan persepsi yang mengelirukan di peringkat bawahan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa UMNO dan Pas bersetuju untuk menjadi parti teras kepada MN.

“Itu keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Rabu lalu. UMNO dan Pas menjadi parti teras MN. Jika ada parti lain (Bersatu) yang akan bersama, itu kemudian,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung lebih empat jam yang berakhir selepas pukul 12 tengah malam itu berjalan dengan baik dan harmoni. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan