31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muhyiddin hanya prihatin, beri nasihat bukan terdesak

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hanya darurat sahaja boleh menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak maka bersuaralah puak-puak pembangkang.

Kata mereka, tidak wajar Perdana Menteri membangkitkan perihal darurat setelah Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengisytiharannya.

Malah ada antara mereka menganggap Muhyiddin seolah-olah terdesak apabila memperkatakan perkara itu. Hakikatnya Perdana Menteri hanya menyatakan kebimbangannya PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak akan memburukkan lagi krisis Covid-19. Oleh itu beliau berpendapat pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.

‘’Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya jika kerusi kosong atau jika DUN dibubarkan,’’ kata Perdana Menteri ketika menegaskan perkara tersebut di Pagoh.

Muhyiddin hanya bercakap berdasarkan kepada fakta, oleh itu tidak perlu mana-mana pihak cuba mempolitikkan kenyataan Perdana Menteri bagi menampakkan seolah-olah beliau terdesak.

Muhyiddin prihatin dan sayang kepada rakyat Sarawak dan Sabah jika pilihan raya diadakan dalam keadaan pandemik Covid-19 masih menular.

Sebab itulah Muhyiddin memberi nasihat serta merayu kepada penduduk Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati dengan mematuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan. Itu saja. Adakah pembangkang tidak prihatin soal tersebut sehingga menganggap apa yang beliau katakan itu tidak wajar?

Kenapa perlu bercakap soal Muhyiddin terdesak sedangkan Perdana Menteri bukannya mempersoalkan titah Al-Sultan Abdullah yang pada 25 Oktober lalu, setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia atau ‘mana-mana bahagian’ di negara ini.

Malah Muhyiddin pun tidak menyentuh cadangan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr.Rais Yatim yang pada 29 Oktober lalu mengesyorkan agar pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 dicadangkan sekali lagi kepada Al-Sultan Abdullah.

Mungkinkah kalau syor Rais itu diterima, pemimpin-pemimpin pembangkang boleh membuktikan keprihatinan mereka dengan menyokong darurat?

Seri Paduka pada 25 Oktober sudah bertitah bahawa tiada keperluan melaksanakan darurat, maka semua pihak perlu menghormatinya. Apa yang penting sekarang ialah melaksanakan titah Seri Paduka pada 28 Oktober yang menasihatkan semua ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Seri Paduka juga menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini daripada terus merebak.

Oleh itu jika pembangkang tidak terdesak mahu menjatuhkan Muhyiddin maka seharusnya menyokong Belanjawan 2021 tanpa banyak soal atau tuntutan termasuklah mahu perbahasan usul percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dibenarkan.

Tambahan pula, Al-Sultan Abdullah sudah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, pemimpin-pemimpin pembangkang juga perlu ingat Al-Sultan Abdullah juga dalam titah Seri Paduka pada 25 Oktober menegaskan, Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Berikutan itu parti-parti pembangkang perlu memberikan sokongan kepada usaha kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19 ini dengan menyokong belanjawan tanpa sebarang alasan kerana jika ia diluluskan sudah tentu usaha memerangi pandemik tersebut dapat dilakukan dengan berkesan biarpun pilihan raya terpaksa diadakan.

Cukup-cukuplah membuat kenyataan politik yang memualkan dengan cuba mempolitikkan apa juga kenyataan Muhyiddin. Seperti mana kata Perdana Menteri, tidak guna berpolitik jika ia tidak memberi faedah kepada kehidupan rakyat terutama ketika menularnya pandemik Covid-19.

Justeru jika mereka menasihatkan Muhyiddin menumpukan perhatian kepada Belanjawan 2021 berbanding membangkitkan soal darurat, maka mereka juga perlu berhenti daripada bercakap soal undi tidak percaya kerana rakyat sudah muak.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan