25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Motac digesa bantu agensi pelancongan bukan pelancong

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) membantu agensi pelancongan di bawahnya yang berdepan gulung tikar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pihaknya terkilan pengumuman Pakej Menyemarakkan Pelancongan Domestik itu tidak mengambil kira kepentingan agensi pelancongan di dalam Motac.

Beliau mendakwa, Motac hilang hala tuju kerana sepatutnya membantu agensi pelancongan menyemarakkan pakej domestik dan bukannya menggula-gulakan pelancong domestik dengan lambakan imbuhan baucar dan diskaun.

RAZALI MOHD SHAM

“Sepatutnya Motac lebih peka tentang permasalahan agensi pelancongan yang amat terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Disebabkan itu ada antara ahli-ahli kami sudah gulung tikar dan menutup perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Motac melaporkan sebanyak 204 syarikat pengusaha pelancongan gulung tikar sejak Mac 2020 dan ini tidak termasuk syarikat tidak lapor.

Advertisements

Razali berkata, Akta Industri Pelancongan 1992 (AKTA 482) dirangka untuk menjaga kepentingan agensi pelancongan dan pemandu pelancong di Malaysia.

Ujarnya, hotel atau premis penginapan hanyalah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pendaftaran, Pengelasan, Pengelasan Semula dan Penggredan Premis Penginapan Pelancong) 2003.

“Oleh yang demikian, kami mahu Motac membuka mata dan segera membantu agensi pelancongan di bawah mereka yang sudah tenat menunggu rebah dan berkubur,” tambahnya.

Sebanyak RM200 juta peruntukan tambahan diberikan kepada Motac bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2021.

Pelaksanaan pakej rangsangan tersebut termasuk baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga serta menyemarakkan seni dan budaya.

Turut termasuk dalam pelan pemulihan tersebut adalah potongan diskaun pengangkutan, diskaun membeli-belah dan perkhidmatan diskaun pakej bagi ‘frontliners’ serta Kempen Meet in Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan