25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi paket 1kg tumpas

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram ( kg ) untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri, dalam satu serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor, kelmarin.

Sebanyak tujuh pekerja dan seorang lelaki tempatan yang bertanggungjawab dalam sindiket itu turut ditahan dalam serbuan itu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, sepasukan anggota penguat kuasa kementerian terdiri daripada sembilan orang menyerbu sebuah stor industri di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 5.30 petang, Isnin lalu.

Menurutnya, stor itu dikenalpasti sebagai tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kg berkenaan. 

Tangki fiber yang berisi minyak masak anggaran 1000 liter setiap satu turut ditemukan. – Foto KPDNHEP

“Dalam serbuan tersebut, anggota pasukan telah menemui 6,919 bungkus 1 kg minyak masak melibatkan dua jenama yang terdapat di pasaran dan 13 unit tangki fiber yang berisi minyak masak anggaran 1000 liter setiap satu. 

“Sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1 kg yang telah dikoyakkan dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut disita. Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM58,212.50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata, hasil risikan KPDNHEP mendapati bahawa, sindiket beroperasi dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong berlesen. 

Beliau menjelaskan, minyak masak bersubsidi paket 1kg itu seterusnya akan dileraikan dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi yang memberikan keuntungan yang tinggi.   

“Dalam serbuan tersebut, seramai tujuh orang pekerja lelaki warga asing berumur 18 hingga 25 tahun yang berada di premis kejadian telah ditahan bagi membantu siasatan manakala seorang lelaki berumur warganegara tempatan 42 tahun yang bertanggungjawab terhadap aktiviti di premis tersebut telah ditangkap.

Advertisements
Anggota Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa tangki fiber yang memuatkan minyak masak bersubsidi yang diseleweng. – foto KPDNHEP

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melibatkan urusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak masak tanpa lesen sah,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim memberitahu,  hasil risikan turut membawa kepada serbuan berasingan secara serentak oleh lima orang pegawai di sebuah premis perniagaan di Pulau Indah Industrial Park, Pulau Indah, Selangor. 

Ujar beliau, premis perniagaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket pemilikan minyak masak bersubsidi di stor pemindahan minyak masak tersebut.   

“Dokumen-dokumen bukti bagi pembelian serta pembekalan dan buku stok barang kawalan oleh perniagaan ini disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Menurutnya, suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 22 (1) dan Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, mengikut Seksyen 22 (1), suspek boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali 

“Di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, bagi syarikat atau pertubuhan berbadanan, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

‘Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti seperti ini dan akan mengambil tindakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di http://eaduan.kpdnhep.gov.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan