24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kamala wanita pertama jadi Naib Presiden AS

Mesti Baca


KAMALA Harris mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), selepas regunya, Joe Biden disahkan memenangi Pilihan Raya Presiden AS.

Pada awalnya, Kamala yang berusia 55 tahun merupakan pesaing kepada Biden bagi menjadi calon parti Demokrat untuk menumbangkan Donald Trump yang baru sepenggal menjadi Presiden AS.

Bagaimanapun Kamala tewas namun Biden tidak meninggalkan wanita itu, apabila menjemput Kamala menjadi regunya sebagai Naib Presiden.

Kamala dilahirkan di Oakland, California. Ibu dilahirkan di India manakala ayahnya berasal dari Jamaica. Apabila orang tuanya bercerai Kamala dibesarkan oleh ibunya yang beragama Hindu.

Bagaimanapun Kamala menekankan ibunya mengamalkan budaya Afrika-Amerika Oakland yang turut mempengaruhi Kamala dan adiknya, Maya.

‘’Ibu saya memahami bahawa dia membesarkan dua anak perempuan kulit hitam. Dia tahu bahawa tempat di mana dia tinggal (AS) akan melihat maya dan saya sebagai gadis kulit hitam.

”Dia bertekad untuk memastikan kami akan membesar menjadi perempuan kulit hitam, yang yakin dan bangga dengan diri kami,’’ tulis Kamala dalam autobiografinya ‘The Truths We Hold’.

Kamala melanjutkan pelajaran di Universiti Howard – salah satu institusi pengajian tinggi dan universiti kulit hitam terkemuka di AS. Di situlah beliau membentuk dirinya.

Kamala berkata, beliau sentiasa selesa dengan identitinya dan hanya menggambarkan dirinya sebagai ‘orang Amerika’.

Advertisements

Pada tahun 2019, beliau memberitahu Washington Post bahawa ahli politik tidak harus diletakkan di dalam sesuatu kelompok sama ada kerana warna kulit mahupun latar belakang mereka.

Setelah empat tahun menuntut di Universiti Howard, Kamala melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti California, Hastings dan memulakan kerja di Pejabat Pendakwaraya Daerah Alameda County.

Beliau menjadi Pendakwa wilayah, sebelum terpilih sebagai perempuan pertama dan Afrika-Amerika yang pertama menjadi Peguam California.

Sepanjang dua penggal menduduki jawatan tersebut, Kamala mencatatkan reputasi sebagai salah satu bintang Parti Demokrat yang sedang meningkat. Keadaan itu digunakan beliau untuk menyertai pemilihan Senator di California pada tahun 2017.

Sejak menjadi anggota Senat AS, Kamala mendapat sokongan daripada kaum progresif kerana soalan-soalan pedasnya terhadap calon Mahkamah Agung pada ketika itu, Brett Kavanaugh dan Peguam Negara William Barr dalam sidang-sidang penting di Senat.

Apabila gagal menjadi calon parti Demokrat bagi jawatan Presiden AS, pada Mac lalu, Kamala melontarkan sokongannya kepada Biden dan berjanji akan melakukan segala usaha untuk membantu ahli politik berusia 77 tahun itu menumbangkan Trump.

Dan kini usaha itu sudah berjaya, Kamala akan menjadi wanita pertama dalam sejarah AS menjadi Naib Presiden manakala Biden menjadi ahli politik paling tua menduduki jawatan Presiden AS.

Kini dunia akan menantikan apakah akan dilakukan oleh Biden dan Kamala bagi memperbetulkan segala kerosakan yang dikatakan dilakukan oleh Trump sepanjang empt tahun mentadbir negara paling berkuasa di dunia tersebut.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan