31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Isytihar darurat bukan jalan terbaik elak pilihan raya – Tok Mat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan memohon pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.

Malah melalui catatan dalam Facebook beliau, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata, implikasi drurat dilihat lebih besar jika diisytiharkan berbanding menangguhkan kedua-dua pilihan raya tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau;

Saya memahami kebimbangan YAB Perdana Menteri semasa menyampaikan perutusan khas petang semalam, tentang pengendalian Pilihanraya Kecil Batu Sapi dan Pilihanraya Negeri Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pendemik.

Namun memohon pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan keduanya bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.

Umum mengetahui bahawa BN tidak akan bertanding di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti-parti lain juga memberikan laluan kepada Warisan bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa di cabar.

Ini sebagai menghormati mendiang Datuk V. K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihanraya kecil diadakan waktu ini.

Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan.

Untuk Pilihanraya Negeri Sarawak, tempoh matang DUN Sarawak ialah 7 Jun 2021. Jika Kerajaan Negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021. Ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

Saya sangat meyakini kebijaksanaan YAB Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak.

Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas dan mampu mengendalikan pilihanraya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan.

Adalah untuk SPR membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihanraya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik. SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.

Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik Kerajaan mengawal pandemik waktu ini. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan