KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan tidak memakai gelang pengawasan semasa menjalani kuarantin kendiri di rumah beliau adalah tidak benar.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, adalah dijelaskan bahawa Muhyiddin tidak diberikan gelang pengawasan oleh KKM.
Menurutnya, berdasarkan penilaian risiko yang dibuat KKM pada 5 Oktober, Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan ‘home assessment tool’ dalam aplikasi MySejahtera.
“Sehubungan itu, beliau tidak dikehendakki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan.
“Justeru, dakwaan Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” kata kenyataan itu hari ini.
Hari ini tular dalam media sosial hantaran yang mendakwa Perdana Menteri tidak mematuhi arahan KKM untuk memakai gelang pengawasan semasa menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Kata kenyataan itu, untuk makluman, keputusan ujian saringan pengesanan Covid-19 yang dilakukan pada 5 Oktober 2020 ke atas Perdana Menteri telah disahkan negatif pada keesokan harinya.
Selain itu, beliau juga melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif.
“Perdana Menteri bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.
“Setakat ini kesihatan pm adalah baik namun beliau akan tetap menjalani kuarantin kendiri sehingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan KKM,” kata kenyataan itu lagi.