34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PN, BN, PBS bertembung sesama sendiri, PCS bersendirian

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bagaikan kawan lawan kawan, itulah yang boleh disimpulkan apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Ia memandangkan berdasarkan senarai nama calon yang diumumkan semalam, Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutunya Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka bertembung antara satu sama lain di sekurang-kurangnya 11 kerusi serta akan menggunakan simbol masing-masing.

Bernama melaporkan, kerusi-kerusi terbabit adalah Bengkoka (UMNO/PBS), Telupid (UMNO/ PBS), Matunggong (PBS/PBRS), Kadamaian (PBS/PBRS), Tandek (PBS/PBRS), Tulid (PN/PBRS), Sook (PN/PBRS), Kapayan (MCA/PBS), Karamunting (MCA/PBS), Paginatan (UMNO/PN) dan Tanjung Aru (UMNO/PBS).

Secara keseluruhannya, PN yang terdiri daripada Bersatu, STAR dan SAPP, akan bertanding 29 kerusi, PBS 15 kerusi, manakala BN yang terdiri daripada UMNO, MCA dan PBRS pula 40 kerusi.

Barisan Nasional meletakkan calon di 40 kerusi, iaitu jumlah tertinggi antara parti yang bertanding.

Sementara itu, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, UPKO, DAP, PKR dan Amanah sudah mencapai persetujuan untuk pembahagian kerusi.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berkata, parti itu mencapai kata sepakat dengan Warisan untuk meletakkan calon di tujuh kerusi.

Kerusi itu ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api Api, Klias dan Sook.

Ia bermakna Warisan akan bertanding di 46 kerusi, UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan Amanah (1).

Parti Cinta Sabah (PCS) yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman turut mengumumkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Menurut Anifah, PCS adalah parti tempatan yang tidak bergabung dengan mana-mana parti lain dan mampu memenangi hati pengundi.

Anifah Aman mengetuai Parti Cinta Sabah yang akan bertanding di kesemua kerusi yang ditawarkan.

‘’Kefahaman saya tentang parti tempatan adalah kita semuanya adalah orang Sabah dan bertapak di Sabah. Kita tidak akan bekerjasama dengan DAP, kita tidak bekerjasama dengan UMNO, kita tidak bekerjasama dengan Bersatu…kami berdiri sendiri sebab semua kami adalah rakyat Sabah.

‘’Jadi kenapa kita mahu bekerjasama dengan parti lain sedangkan kita mampu untuk menubuhkan dan membentuk kerajaan, itu sahaja,’’ katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Sememangnya sejak awal lagi, Anifah menolak sebarang kerjasama dengan parti-parti lain, walaupun sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi membayangkan gabungan itu akan bekerjasama dengan PCS.

Malah dalam kenyataannya semalam, Anifah secara tegas menyatakan, PCS bagaimanapun membuat pengecualian dan terbuka untuk menerima parti-parti tempatan yang mahu menyertai mereka.

‘’Pintu sentiasa terbuka kepada parti-parti tempatan untuk menyertai perjuangan kami jika mereka juga mempunyai visi dan misi yang sama.

“Kami mahu bekerjasama dengan parti-parti tempatan apabila mereka mahu memperjuangkan hak istimewa kita demi untuk negeri kita dan demi anak cucu-cicit kita dan saya alu-alukan mereka,’’ katanya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan