30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jiwa besar bukan ‘lesen’ untuk perkotak-katikkan Pas

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-66 di Pengkalan Chepa, Kelantan bermula semalam, sudah pasti akan dianggap muktamar paling bersejarah dalam perjuangan politik parti itu.

Ia memandangkan Pas bermuktamar dalam suasana parti itu kini bersama memerintah negara melalui Kerajaan Perikatan Nasional dan memimpin di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Muktamar tersebut juga ‘dihiasi’ dengan kejutan apabila Pas membuat keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Namun keputusan tersebut sama sekali tidak akan mencacatkan kewibawaan dan keampuhan Pas sebagai salah sebuah parti Melayu terbesar yang semakin memantapkan kedudukannya dalam persada politik negara.

Dalam soal ini penulis teringat kembali tema Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 pada tahun 2015 iaitu BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN.

Kini istiqamah tersebut mula membuahkan hasil kepada parti yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama pada tahun 1951. Kepemimpinan Pas yang diterajui oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meletakkan parti tersebut berada dalam satu kedudukan yang dihormati oleh kawan dan digeruni oleh lawan.

Walaupun keputusan penarikan diri daripada bertanding di PRN Sabah menyebabkan musuh-musuh politik parti tersebut mula bertepuk tangan dan ‘mencucuk jarum beracun’ bagi menggugat keyakinan ahli-ahli Pas khususnya dalam kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional tetapi penulis percaya ia tidak akan berhasil.

Perlu diingat ahli-ahli Pas bukan seperti sebahagian ahli-ahli parti lain, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju atau berasa tidak puas hati dengan tindakan kepemimpinan dalam memutuskan sesuatu, namun mereka bukan pemberontak atau ‘pesabotaj’ parti.

Ahli-ahli Pas taat dan patuh apabila kepemimpinan parti sudah membuat keputusan. Mereka redha walaupun kecewa, mereka akur biarpun sedih.

Sikap istiqamah dan taat inilah tidak ada kepada sebahagian ahli-ahli parti-parti lain. Bayangkan apa akan berlaku kepada parti-parti tertentu jika kepemimpinan mereka meminta supaya ada kerusi diserahkan kepada Pas di PRN Sabah?

Orang luar boleh berkata apa sahaja kepada Pas selepas apa yang berlaku di PRN Sabah tetapi percayalah tindakan mempersendakan Pas kerana kononnya tunduk dan dilihat menyerah dengan memberi laluan kepada rakan dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional sama sekali tidak akan menjadi ‘kudis gatal’ kepada perjuangan Pas.

Tambahan pula Pas juga memahami kekuatan mereka di Sabah. Sebagai contoh dalam PRU-14, Pas bertanding di 12 kerusi DUN, kesemua kalah dengan perolehan undi paling rendah 129 undi iaitu di DUN Kadamaian dan paling tinggi di DUN Karambunai iaitu 1,696 undi.

Dan pada masa sama sikap parti-parti dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasioal yang mahu mempertahankan atau bertanding di semua kerusi menyebabkan Pas berjiwa besar dengan memberi laluan kepada parti-parti tersebut.

Pas tidak mahu membuang masa atau melakukan tindakan yang boleh menggugat perpaduan dalam Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional kerana misi yang lebih penting ialah PRU-15.

Jika Pas mengambil sikap terus bertegas dengan mahu bertanding juga di 10 kerusi yang sebelum dihasratkan oleh parti itu, ia sudah tentulah akan menyebabkan kelompok yang menjalankan ‘kerja-kerja syaitan’ akan ‘menari gembira’. Ia kerana impian mereka untuk melihat Pas bergaduh khususnya dengan Bersatu dan UMNO tercapai.

Advertisements

Tetapi impian mereka tidak akan tercapai kerana pemimpin dan ahli Pas di semua peringkat tidak akan terhasut dengan ‘bisikan dan hasutan pelaksana kerja-kerja syaitan’ yang mahu melihat Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional berantakan jika Pas memberontak.

Dan ternyata impian atau lebih tepat lagi niat jahat mereka tidak tercapai sebab itulah walaupun kecewa, sikap taat dan patuh ahli-ahli Pas kepada keputusan pimpinan secebis pun tidak terjejas, sebaliknya ‘pelaksana kerja-kerja syaitan’ akan berasa gelisah kerana misi mereka sudah gagal.

Bagaimanapun penulis percaya misi songsang mereka tidak akan terhenti, mereka akan terus melakukan provokasi dan ia akan berterusan sehinggalah pembahagian kerusi bagi gelanggang PRU-15 dibuka.

Atas sebab itulah, parti-parti yang bersahabat dengan Pas sama ada dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional perlu mengelak daripada dilihat melayan Pas seperti ‘melukut di tepi gantang’. Boleh sahaja mengatakan Pas tidak ada kekuatan di Sabah tetapi di Semenanjung senarionya amat berbeza sekali.

Pas mempunyai kekuatan tersendiri di semenanjung. Dengan menguasai 18 kerusi Parlimen dan memimpin di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta memiliki penyokong yang signifikan di kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara, kekuatan Pas sama sekali tidak boleh diperkecilkan.

Perkara ini diakui oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menegaskan, “Saya merasakan bahawa Pas dirasai kewujudannya dan kekuatannya di dalam politik terutaman di Semenanjung. Jadi, kalau ada suara-suara (yang mengatakan) untuk mengenepikan Pas (berikutan apa yang berlaku di Sabah), itu saya kira adalah satu yang tidak tepat dan tidak betul.”

Selain itu, Hashim juga menegaskan, “kita memerintah tiga negeri. Ini satu tenaga yang ada dan boleh kata, di negeri-negeri lain juga pengaruh Pas dalam grassroot boleh dikatakan cukup hebat, kukuh di peringkat akar umbi.”

Kenyataan Hashim adalah tepat sekali, tujuh pilihan raya kecil yang dimenangi oleh Barisan Nasional adalah bukti kekuatan Pas dalam Muafakat Nasional. Ini adalah fakta dan turut diakui oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Justeru itulah Hashim menyifatkan, gabungan politik itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional sebagai sangat hebat.

“Dalam Muafakat Nasional ini cukup hebatlah. Sebab kita (Pas) boleh dikatakan dalam kebanyakan negeri, kita bergerak bersama Muafakat Nasional,” tegas beliau.

Kesimpulannya, sementara Pas bersedia berjiwa besar dengan memberi laluan kepada rakan-rakan dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional bertanding di PRN Sabah, pada masa sama rasa hormat terhadap parti itu harus dipertahankan oleh parti-parti yang berada dalam kedua-dua gabungan berkenaan.

Jiwa besar Pas bukan ‘lesen’ untuk mana-mana parti memperkotak-katikkan kekuatan parti tersebut.

Kepada kelompok yang mahu meneruskan ‘kerja-kerja syaitan’ dengan mahu memporak-perandakan kerjasama Pas dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, teruskanlah ‘kerja-kerja bodoh’ tersebut.

Memetik kata-kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, ‘’Malang buat mereka, Pas memilih jalan kemuliaan. Orang menang senyum gembira. Orang kalah asyik mempersenda mengubah.’’

Benar di PRN Sabah, Pas ‘sudah menang’ dengan jiwa besarnya tetapi kelompok adu domba kalah kerana misi songsang mereka ‘terburai di tengah jalan’.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan