FIKIRKAN fakta ini, Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan tertubuh tanpa 43 kerusi Parlimen daripada Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah tidak akan mampu memerintah negeri itu jika tiada 14 kerusi daripada Barisan Nasional, UMNO dan Bersatu tidak mungkin menduduki kerusi Menteri Besar Perak tanpa sokongan ADUN-ADUN daripada UMNO.
Fakta ini membuktikan, UMNO bukanlah parti picisan atau boleh dilayan ibarat seperti ‘lepas madu sepah dibuang’ dan tidak sepatutnya diperlakukan seolah-olah hanya sekadar ‘pak turut’.
Atas sebab itulah penulis memahami kemarahan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Kenyataan Wan Ahmad Fayshal dianggap angkuh oleh UMNO apabila mendakwa kemenangan GRS di Sabah adalah atas kekuatan Perikatan Nasional yang tidak dibebani dengan isu legasi dan kepercayaan serta menegaskan, kemenangan Perikatan Nasional juga hasil kekuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘tidak ponggah’, tidak angkuh dan meraikan kerjasama.
Apa yang diperkatakan oleh beliau dilihat UMNO seolah-olah menafikan sumbangan besar Barisan Nasional dan UMNO dalam memastikan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh parti Warisan tumbang.
Untuk memerintah Sabah, mana-mana parti harus menang majoriti mudah iaitu 37 kerusi daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Perikatan Nasional hanya menang 17 kerusi sahaja, majoriti mudah dicapai melalui kemenangan Barisan Nasional di 14 buah kerusi dan Parti Bersatu Sabah (7 kerusi). Ertinya, tanpa sokongan atau kemenangan dua parti tersebut, usah bermimpilah Bersatu akan dapat menduduki jawatan Ketua Menteri.
Oleh itu adalah lebih baik berhati-hati dalam membuat kenyataan. Janganlah baru mencapai satu kemenangan dan membentuk kerajaan negeri dengan perolehan kerusi ‘cukup-cukup makan sahaja’ sudah dilihat mahu mendabik dada.
Belajarlah daripada sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dengan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada semua parti dalam GRS yang memastikan kemenangan di Sabah dan bersepakat mencalonkan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. Usah merosakkan semangat setiakawan dengan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan di dalam Perikatan Nasional.
Sepatutnya Armada Bersatu berterima kasih kepada UMNO yang telah melakukan banyak pengorbanan bagi menyelamatkan parti Bersatu daripada ‘karam lebih awal’ berikutan perpecahan yang berlaku awal tahun ini berikutan peletakan jawatan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
UMNO boleh sahaja pada masa itu mengekalkan pendiriannya meminta Parlimen dibubarkan tetapi demi rakyat, UMNO bersedia bekerjasama dengan Bersatu menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang turut disertai oleh Pas.
Jika ketika itu Parlimen dibubarkan, PRU-15 diadakan manakala UMNO dan Pas bergabung dalam Muafakat Nasional, tidak mustahil bahtera Bersatu sudah menjadi ‘tukun di tengah samudera’ politik lebih awal.
Tetapi UMNO menerima pelawaan menyertai Kerajaan Perikatan Nasional sehingga akhirnya turut membolehkan Wan Fayshal merasai jawatan Timbalan Menteri yang disandangkan sekarang.
Begitu juga di Perak, jika UMNO bertegas mahu jawatan Menteri Besar kerana memiliki kerusi terbanyak di DUN, Bersatu tidak akan terus memegang jawatan berkenaan.
Semua fakta ini sepatutnya memberi kefahaman kepada indivividu seperti Wan Fayshal bahawa Bersatu masih wujud, terselamat dan masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini adalah atas jasa UMNO.
Malah Bersatu juga akan memiliki Ahli Parlimen paling sedikit jika tidak ada Ahli-Ahli Parlimen yang menang atas tiket UMNO pada PRU-14 melompat ke Bersatu!
Penulis faham mungkin Wan Fayshal teruja dengan kemenangan di Sabah, apatah lagi kemenangan itu pula dicapai ketika beliau baru sahaja dipilih sebagai Ketua Armada tetapi berhati-hatilah. UMNO pun ada maruah dan perasaan, kesabaran UMNOpun ada hadnya.
Pada masa ini , penulis difahamkan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO terhadap Bersatu semakin meningkat, khabarnya di peringkat akar umbi ‘lebih panas’ lagi.
Semua ini bukanlah satu yang baik kepada permuafakatan dalam Perikatan Nasional. Malah suara-suara tidak puas hati terhadap terhadap tindak tanduk pemimpin tertentu dalam Bersatu melayan UMNO juga semakin ketara.
Sebagai orang Melayu, kita tidak mahu parti-parti Melayu seperti UMNO, Pas dan Bersatu berpecah belah kerana ia tidak akan menguntungkan kuasa politik Melayu.
Tetapi segalanya tidak mustahil berlaku kalau dalam kalangan pemimpin Bersatu tidak pandai menjaga hati kawan dan merasakan parti itu sudah cukup kuat memandangkan mereka memegang jawatan Perdana Menteri, menjadi Menteri Besar di Perak dan Ketua Menteri di Sabah.
Seperti mana kata Asyraf Wajdi, ‘’Ahli-ahli UNO juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mestilah jujur dan ikhlas.’’
Sememangnya kita tidak mahu sebarang perpecahan dalam kerjasama antara tiga parti Melayu tersebut tetapi segalanya boleh berlaku, jika UMNO terus dilayan seperti ‘melukut di tepi gantang’. Kalau itu berlaku, lebih baik berjuang sendirian daripada membiarkan maruah parti menjadi gadaian.
Suara-suara mendesak supaya UMNO meninggalkan Perikatan Nasional semakin jelas kedengaran sebagai contoh Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr.Najmil Faiz Mohamed Aris melalui catatan dalam Facebook berkata;
UMNO merupakan parti yang mempunyai kerusi terbesar dalam gabungan kerajaan PN berbanding Bersatu. Secara praktisnya, parti memiliki kerusi terbanyak adalah parti dominan dalam membuat keputusan.
Perlu diingati, bilangan kerusi UMNO ini mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia dan menunjukkan suara kolektif. Tetapi dalam PN, UMNO tidak menjadi dominan malah dilihat sering tunduk dan terpaksa akur kepada Bersatu.
Adakah kerana Perdana Menteri daripada parti Bersatu? Jawatan-jawatan kanan di Kabinet turut didominasi Bersatu walhal parti ini adalah minoriti dalam kerajaan PN.
UMNO menyokong Bersatu hanya untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang dicipta PH yang terdiri daripada Bersatu juga. Sebab itulah kerajaan PN ini tidak stabil dan sentiasa bergolak.
Adakah nasib UMNO akan terjadi seperti DAP dan PKR yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PH lalu kerajaan itu diruntuhkan sendiri oleh Perdana Menteri daripada Bersatu. Praktis pemerintahan seperti ini adalah tidak baik untuk negara dan hanya merugikan rakyat Malaysia. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil.
Pemimpin Bersatu yang wujud pada hari ini juga datang dari mandat UMNO. Selepas PRU-14 mereka melompat dan menyertai Bersatu untuk menyokong kerajaan PH.
Sebab itulah kerusi ini perlu diambil balik oleh UMNO pada PRU-15. Jadi tidak usahlah hendak mendabik dada kerana UMNO punyai jasanya dalam mengembalikan sokongan rakyat. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita.
Itulah pandangan Dr.Najmil Faiz yang penulis semakin ‘dikongsi’ oleh majoriti pemimpin dan ahli UMNO.
Bagaimanapun kita tetap mendoakan permuafakatan yang sedia ada dipertahankan demi mengembalikan kuasa politik Melayu, percayalah jika dalam PRU-15 nanti, parti-parti terlibat bertembung sesama sendiri, undi Melayu berpecah, Pakatan Harapan pasti berkuasa semula.