28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bubar sajalah Parlimen, itu lebih baik!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


SAMPAI bila?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran penulis apabila mendengar pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai majoriti menyakinkan bagi menubuhkan kerajaan bagi menggantikan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penulis melontarkan persoalan sampai bila kerana percaya dan yakin majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan permainan politik yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Penghujung Februari lalu, Kerajaan Pakatan Harapan tumbang apabila Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Masih kita ingat ketika itu, semua parti-parti diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan mereka mempunyai cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan dan mengemukakan calon Perdan Menteri.

Akhirnya Muhyiddin dilantik selepas parti beliau, Bersatu bekerjasama dengan Barisan Nasional, Pas dan parti-parti Sabah serta Sarawak bagi membentuk kerajaan, tetapi dengan majoriti yang agak tipis.

Selama enam bulan pentadbiran negara berjalan dengan tenang walaupun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Pelbagai langkah dilakukan oleh kerajaan bagi menangani pandemik tersebut dan paling utama mengatur strategi bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun ketika usaha-usaha masih diteruskan bagi membolehkan negara benar-benar pulih khususnya dari segi ekonomi, kini arena politik negara pula di ambang pergolakan.

Anwar muncul dengan penuh yakin bahawa beliau sudah ada majoriti kukuh untuk memimpin negara.

Persoalannya sampai ke bilakah kita mahu menyaksikan adegan ‘bermain angka’ ini berlaku?

Sampai bilakah kita harus membiarkan Ahli-ahli Parlimen yang mendapat mandat daripada rakyat ‘mempertaruhkan atau menggadaikan’ mandat itu atas pelbagai alasan?

Sampai bila kita harus membiarkan rakyat yang sedang dihimpit pelbagai kesusahan terpaksa pula menyaksikan adegan memualkan dalam soal perebutan kuasa?

Cukuplah! Semua ‘kegilaan’ dan ‘ketidaktentuan’ ini harus dihentikan.

Kembalikan semula mandat kepada rakyat, bubarkan sahaja Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan.

Ia adalah langkah paling terbaik untuk memastikan negara tidak terus diganggu dengan ‘politik lompat melompat’ yang cukup membosankan.

Rakyat sudah muak, rakyat sudah menyampah menyaksikan episod politik seumpama itu.

Khairy Jamaluddin dalam ciapan dalam twitter beliau hari ini berkata,”Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak apa-apa yang tumbang atau jatuh.” – Foto Twitter Khairy Jamaluddin

Jika parti-parti politik benar-benar yakin masing-masing mempunyai sokongan daripada rakyat maka bertarunglah secara ‘anak jantan’ dalam PRU-15, bukannya ‘ke sana, ke sini’ mencari ahli Parlimen mahu melompat.

Kekalutan yang berlalu ketika ini harus dihentikan kerana banyak lagi urusan rakyat harus dibereskan, bukannya membuang masa dengan pergelutan kuasa yang tiada pengakhirannya.

Seperti juga orang lain, penulis juga tidak pasti, sama ada Anwar benar-benar mempunyai jumlah sokongan majoriti atau satu lagi ‘Sandiwara September’ seperti mana 2008.

Tetapi apa yang pasti pembubaran Parlimen adalah langkah terbaik untuk memberi laluan kepada pembentukan satu kerajaan yang kukuh.

Penulis percaya selepas PRU-14, majoriti rakyat khususnya orang Melayu sudah tahu siapa yang akan pilih dalam PRU-15.

Pengalaman 22 bulan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan telah memberi pengajaran berguna supaya jangan mengamalkan sikap marahkan kelambu dibakar.

Apa yang berlaku sekarang ada kaitan dengan ‘kesilapan’ tersebut yang sama sekali tidak harus diulangi pada PRU-15.

Namun begitu, Anwar hanya boleh mendakwa dan teruja untuk menubuhkan kerajaan yang sudah tentunya beliau akan menjadi Perdana Menteri tetapi sama ada kerajaan baru beliau akan terbentuk atau tidak, ia bergantung kepada perkembangan dalam masa terdekat ini Paling penting Allah SWT penentu segala-galanya.

Kalau Anwar ada langkah politiknya, penulis yakin Muhyiddin juga ada strategi tersendiri bagi memastikan usaha beliau menguruskan negara dan membela nasib rakyat yang dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19 tidak tergugat dengan mainan politik mana-mana pihak

Sama-sama kita tunggu apa langkah politik Ahli Parlimen Pagoh itu, yang pasti bubar Parlimen setakat ini dilihat langkah terbaik kerana kita tidak mahu lagi lepas ni ada lagi kumpulan yang muncul dengan mendakwa ‘ada majoriti yang menyakinkan’.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan