SEREMBAN – Polis Daerah Rembau hari ini mengeluarkan saman ke atas bapa kepada kanak-kanak lelaki darjah tiga yang didapati memandu sebuah kereta seperti yang tular di Facebook pagi ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, saman dikeluarkan itu mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan kenderaannya dipandu oleh pemandu bawah umur.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta dan kanak-kanak berkenaan.
“Siasatan mendapati kanak-kanak itu memandu kereta tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya di Kampung Bongek di sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Anuar Bakri dalam pada itu berkata, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Menurutnya, polis mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan masyarakat terhadap isu berlaku.
Video yang tular bertajuk ‘Handa orang Rombau haa’ hari ini merakamkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga seorang diri.
Melalui klip berdurasi 53 saat itu, kanak-kanak berkenaan memaklumkan kepada perakam bahawa bapanya mengajar dia memandu kereta.