36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

TH catat untung bersih RM1.6 bilion bagi tahun 2018

Mesti Baca

KUALA LUMPUR –  Setelah dua tahun lewat mengemukakan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan bagi tahun 2018, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun tersebut.

Memetik Bernama, penyusutan sebanyak 53 peratus berbanding tahun sebelumnya itu adalah berikutan perbelanjaan bukan operasi yang besar iaitu rosot nilai, hapus kira dan pelarasan nilai saksama serta kerugian kredit dijangka ke atas aset-aset TH berjumlah RM1.5 bilion berbanding hanya RM140 juta pada 2017.

Menurut TH, ini setelah mengambil kira rosot nilai yang ketara ke atas pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan entiti usaha sama berdasarkan piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 136 (MFRS 136) dan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah di bawah MFRS 140.

“Keputusan kewangan tahun ini (2018) sebenarnya menggalakkan apabila diambil kira kesemua faktor yang ada ketika tempoh penilaian dan keputusan sukar yang telah diambil bagi mempamerkan kedudukan TH yang lebih berdaya tahan,” kata TH dalam laporan itu.

Menjelang akhir 2018, ia juga telah berjaya memindahkan kesemua aset kurang berdaya saingnya kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan nilai pindahan sebanyak RM19.9 bilion susulan daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH.

Setakat 27 Disember 2018, TH telah memindahkan sejumlah 106 ekuiti tersenarai domestik, satu syarikat perladangan tidak tersenarai dan 29 hartanah dan tanah kepada SPV berkenaan.

“Sebagai balasan kepada pemindahan aset-aset tersebut, SPV itu telah menerbitkan sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan baki pertimbangan jualan sebanyak RM300 juta dibayar secara tunai kepada TH.

“Menurut TH, kerajaan turut menunjukkan komitmen menerusi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi 2020 dan selanjutnya RM1.73 bilion setiap tahun sehingga keseluruhan sukuk berkenaan ditebus.

Selain itu, TH juga diberi Hak Penolakan Pertama untuk mengambil alih sebarang aset yang telah dipindahkan kepada SPV sekiranya syarikat tujuan khas itu berhasrat untuk menjual aset-aset tersebut pada masa akan datang.

“Ini bagi melindungi kepentingan TH sekiranya terdapat potensi peningkatan nilai pada aset-aset yang telah pulih di masa depan. Balasan untuk pengambilalihan aset-aset ini boleh dilakukan melalui bayaran tunai atau setara tunai.

“TH hanya akan mengambil alih aset yang boleh dipulihkan serta berdaya maju yang dapat menghasilkan jangkaan pulangan lebih tinggi daripada sasaran pulangan pelaburan TH,” kata TH.

Dalam pada itu, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menerusi Laporan Ketua Audit Negara yang dilampirkan bersama Laporan Tahunan TH itu berkata, selepas pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan berkenaan, kedudukan aset TH pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM76.79 bilion manakala liabiliti sebanyak RM76.44 bilion.

TH turut merekodkan lebihan aset berjumlah RM357.34 juta setelah mengambil kira bayaran hibah.

Keuntungan bagi tahun kewangan 2018 itu terdiri daripada keuntungan nyata dan tidak nyata berjumlah RM1.6 bilion termasuk keuntungan tidak nyata daripada pindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd berjumlah RM1.39 bilion.

“Daripada keuntungan berjumlah RM1.6 bilion tersebut, TH telah membayar hibah kepada pendeposit berjumlah RM922.96 juta bagi tahun kewangan 2018,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan sebelumnya, TH berkata, kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018 itu antara lainnya disebabkan oleh Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu merupakan perkara kompleks dan tidak pernah dijalankan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara mengambil masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan laporan berkenaan.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan