KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan Kementerian Dalam Negeri agar mengeluarkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai pengganas.
Perdana Menteri Ketujuh dalam sepucuk surat kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata, ini kerana Sri Lanka sendiri tidak menganggap kumpulan itu sebagai pengganas.
Justeru, katanya, tindakan menangkap para penyokong LTTE bukan kerana mengancam keselamatan negara, selain terlalu keras sehingga mereka tidak boleh dijamin.
“Kita anggap Hamas sebagai terrorist tetapi membenarkan mereka masuk Malaysia.
“Saya fikir eloklah jika dikeluarkan Tamil Tigers (LTTE) dari senarai terrorist. Dengan itu perbicaraan mahkamah boleh dilakukan tanpa menyekat jaminan semasa perbicaraan,” kata surat bertarikh 12 Februari lalu yang tular, hari ini.
Surat itu dipercayai berkaitan penahanan 12 rakyat tempatan kerana disyaki menjadi penyokong pengganas LTTE oleh Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman pada Oktober tahun lalu.

Antara yang ditangkap termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran.
Pada 25 Februari lalu, mereka yang terbabit telah dihadapkan ke mahkamah sebelum kesemunya dibebaskan selepas Jabatan Peguam Negara memberhentikan prosiding undang-undang terhadap mereka.
Jun lalu, bekas Ketua Penolong Pengarah E8, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam temu bual dengan sebuah media menyatakan rasa kecewa kerana adanya campur tangan ahli politik dalam siasatan polis.
Beliau yang kini menjadi Ketua Polis Johor berkata, DAP telah mengganggu kes pengganas LTTE yang turut melibatkan pemimpin parti itu. – Edisi 9