31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tiada kluster ‘Najib Razak’ – KP Kesihatan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang laporan diterima berhubung kemungkinan kes Covid-19 dari perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu selepas 16 hari dari tarikh perhimpunan penyokong bekas perdana menteri berkenaan diadakan.

Menurutnya, apa yang dikesan sehingga hari ini merupakan kes berkaitan perhimpunan sewaktu Hari Raya Aidiladha seperti Kluster Sivagangga, Kluster Kurau, Kluster Seri Menanti, dan paling terkini Kluster Tawar.

“Kita tidak melihat sebarang trend kes meningkat secara mendadak (dari lokasi atau perhimpunan berkenaan).

“Apa yang penting ialah tiada laporan diterima berkaitan dengan perhimpunan tersebut. Tetapi kita masih memantau…tindakan kita adalah menjalankan pemantauan setiap masa,” katanya, hari ini.

28 Ogos lalu, ribuan penyokong bekas Perdana Menteri itu berhimpun di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes melibatkan penyelewengan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jumlah kehadiran penyokong yang tinggi menimbulkan kegusaran sesetengah pihak ekoran kemungkinan wujud kluster baharu.

Semalam, Ahli Parlimen Pekan memuat naik catatan dalam Facebooknya mengatakan kemungkinan besar tiada “Kluster Najib” tercetus memandangkan tempoh 14 hari inkubasi COVID-19 telah berlalu.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham yang dipetik Astro Awani berkata, satu kluster baharu Covid-19 dikesan di Mukim Tawar, Kedah.

Ujarnya, kes pertama kluster itu (kes 9,113) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Lelaki berkenaan menurutnya mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung antara 31 Julai dan 1 Ogos, 2020.

“Pada 8 Ogos 2020, beliau mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 dijalankan pada 9 Ogos 2020 dan dikesan positif pada 11 Ogos 2020.

Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 13 Ogos 2020, 86 kontak rapat beliau telah disaring yang termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah 86 saringan, 9 didapati positif, 21 negatif, manakala baki 56 individu lagi masih menunggu keputusan.

Kesemua kes positif kluster itu, jelas beliau, merupakan ahli keluarga lelaki berkenaan yang turut menghadiri upacara keagamaan berkenaan.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan. Langkah-langkah pencegahan dan pembendungan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di lokasilokasi yang dikenal pasti.

“Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya lagi.

Sementara itu, sebanyak 15 kes baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 11 merupakan kes penularan dalam negara manakala empat lagi merupakan kes import.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan