33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tempahan e-hailing dedah tembelang suami pensyarah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tindakan suspek pembunuhan seorang pensyarah dekat Sepang baru-baru ini dengan menempah perkhidmatan e-hailing ke lokasi kejadian berjaya merungkai kes itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, mengikut rekod, suspek yang juga suami mangsa membuat tempahan perkhidmatan e-hailing untuk terus ke lokasi kejadian.

“Jika suspek ingin mencari si mati mestilah di beberapa kawasan, sebaliknya suspek terus menuju ke tempat mangsa dibunuh.

“Berikutan itu polis menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya, hari ini.

DR MAIZATULNIZA OTHMAN

Khamis lalu, pensyarah yang juga kakitangan Kuliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Maizatulniza Othman ditemui meninggal dunia di dalam kereta akibat dijerut dengan tudung.

Mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu.

Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan Rabu lalu di Taman Mas, Putra Perdana, di Sepang.

Lelaki itu turut berpura-pura mencari isterinya, 40, bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pukul 1.04 pagi.

Memetik Harian Metro, Wan Kamarul Azran berkata, suspek juga membuat helah mencari mangsa bersama anak perempuannya kononnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan daripada anak tunggal pasangan itu berumur 14 tahun, 31 Julai lalu.

“Polis juga sudah mengenal pasti seorang wanita berasal dari Terengganu yang dikatakan mempunyai hubungan kait dengan suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu,Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis sudah mengenal pasti motif utama pembunuhan itu, namun pihaknya enggan mendedahkan butiran selanjutnya.

“Dengan penahanan suspek, kes ini sudah selesai dan akan disiasat mengikut Akta 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, Wan Kamarul Azran memberitahu, suami yang membunuh isterinya itu didapati curang, menyebabkan wanita tersebut tetap memfailkan pengesahan penceraian mereka.

Menurutnya, suspek didapati menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka sehinggalah berlaku kejadian pembunuhan itu.

“Setakat ini suspek masih direman dan soal siasat sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ketika ini, khidmat Pasukan Polis Marin (PPM) digunakan bagi membantu mencari telefon bimbit yang dibuang suspek di dalam tasik di Taman Putra Perdana, Dengkil.

Terkini

Rancang pembangunan saksama di semua negeri – Sultan Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan yang saksama diberikan kepada semua bandar di...

Lagi Artikel Berkaitan