29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Soal kerusi: Selesaikan secara berhemah, jangan berpecah belah

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


PENULIS teringat khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini yang antara lain intipatinya ialah; ‘’Kekuatan dan kekuasaan kita akan hilang sekiranya kita terus bersengketa dan berpecah belah.

”Musuh tidaklah terlalu kuat, tetapi kelemahan dan perpecahan kita sesama sendiri yang menyebabkan musuh menguasai dan menentukan sikap dan tatacara kehidupan kita.’’

Kalau mahu dilihat dalam konteks politik negara kita, kuasa politik orang Melayu semakin melemah apabila mereka berpecah belah. Masing-masing membawa haluan dan kelompok sendiri.

Alhamdulillah apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu telah menyedarkan sebahagian parti Melayu khususnya UMNO dan Pas untuk mencari titik persamaan dan permuafakatan.

Akhirnya dengan iltizam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta saf kepemimpinan kedua-dua parti maka terlahirlah Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Penyatuan dua parti Melayu ini sememangnya menggerunkan ‘musuh-musuh’ politik mereka kerana ia terbina atas dasar kekuatan ummah.

Penyatuan antara parti Melayu diperkukuhkan lagi apabila parti Bersatu turut menghulurkan salam persahabatan sehingga terwujudnya Perikatan Nasional (PN) yang berasaskan kepada matlamat untuk membentuk kerajaan bagi menggantikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang pada Februari lalu.

Persoalannya, apakah kerjasama itu berkisar soal penubuhan kerajaan sahaja? Apakah selepas ini masing-masing membawa haluan sendiri dan bertarung sesama sendiri dalam PRU-15? Kalau itu berlaku adakah ia akan menguntungkan kuasa politik orang Melayu?

Sudah pasti tidak. Sebaliknya tersilap langkah orang Melayu boleh merempat di tanah air sendiri hanya disebabkan ada segelintir pemimpin-pemimpin yang mahu mempertahankan ego dan keangkuhan masing-masing.

Justeru adalah penting pembahagian kerusi untuk bertanding dalam PRU-15 antara ketiga-tiga parti itu tidak seharusnya menjadi tembok penghalang dalam usaha mengembalikan kuasa politik orang Melayu.

Memang benar ada parti yang dianggotai oleh orang Melayu tidak berada dalam kesepakatan antara tiga parti Melayu ini, tetapi dari segi kekuatan mereka boleh diibaratkan buih-buih di pantai yang ‘tiada manfaatnya’.

Oleh itu pemimpin-pemimpin Bersatu, UMNO dan Pas tidak boleh membiarkan soal pembahagian kerusi khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu akan menggagalkan usaha menegakkan kembali panji-panji kekuatan politik orang Melayu.

Penulis membangkitkan isu ini apabila membaca kenyataan dan mendengar ucapan sesetengah pemimpin yang seolah-olah melihat Kerajaan PN ini hanya bersifat sementara dan ia akan berkecai apabila PRU-15 diadakan.

Malah sejak kebelakangan ini ada segelintir pemimpin UMNO begitu lantang mahukan parti itu mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU lalu tetapi beralih arah apabila Ahli Parlimen atau ADUN yang terpilih menyertai Bersatu manakala ada pula pemimpin Bersatu tidak tahu ‘jaga mulut’ dalam menyatakan pendirian.

Penulis menghormati pendirian tegas mereka, tetapi soalnya apakah ia akhirnya boleh menguntungkan kuasa politik orang Melayu? Sepatutnya dalam berhadapan dengan isu pembahagian kerusi ini, semua pihak perlu memilih jalan perundingan untuk menyelesaikannya, bukannya membuat kenyataan atau ucapan yang hanya akan mencetuskan perbalahan antara ketiga-tiga parti itu khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu.

Tidak dapat dinafikan ada sesetengah kerusi Parlimen mahupun ADUN yang wakil rakyatnya ‘melompat’ ke dalam parti Bersatu, UMNO berhak terus bertanding di situ tetapi bukan semua kerusi harus berada dalam situasi itu.

Ada sesetengah kerusi perlu kekal di tangan Bersatu kerana prestasi yang ditunjukkan wakil rakyatnya sepanjang menyandang kerusi berkenaan apatah lagi kalau si penyandang sudah berpenggal-penggal mewakili kawasan tersebut dan disenangi rakyat.

Penulis mengambil contoh antaranya, kerusi Parlimen Jeli yang diwakili oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tanah Merah yang disandang oleh Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Kedua-dua mereka sehingga ke hari ini diterima baik oleh rakyat kerana perkhidmatan yang diberikan. Begitu juga dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut).

Soalnya adakah UMNO boleh memberi jaminan bahawa mereka boleh mempertahankan kerusi tersebut jika Bersatu tidak dibenarkan bertanding atas alasan ‘’itu kerusi milik UMNO’’.

Begitu juga dengan beberapa kerusi lain adakah Bersatu yakin mereka akan menang, kalau ia tidak dikembalikan kepada UMNO?

Apapun pembahagian kerusi tidak harus menjadi pemusnah kepada permuafakatan yang sudah terjalin antara ketiga-tiga parti berkenaan. Dalam situasi politik sekarang, janganlah melihat untung rugi berkaitan pembahagian kerusi sahaja sebaliknya fikirkan juga kepada usaha memperkukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu.

Ramai pemimpin-pemimpin Melayu berazam untuk memastikan PH tidak akan kembali berkuasa dalam PRU-15 nanti, tetapi adakah hasrat itu akan tercapai, kalau sekarang inipun antara mereka sendiri memburuk-burukkan antara satu lain semata-mata kerana ‘berebut kerusi’?

‘’Sekarang masa untuk perpaduan umat Islam dan Melayu. Tidak akan ada parti dominan orang Melayu sebab berpecah-belah,’’ kata seorang kawan kepada penulis.

Memang benar, ketika ini tidak ada satupun parti Melayu yang boleh menganggap mereka dominan atau akan menjadi dominan, apatah lagi mahu menjadi ‘abang besar’.

Sebaliknya sama ada UMNO, Pas dan Bersatu, mereka hanya ada satu pilihan sahaja iaitu bergabung kekuatan untuk turun ke gelanggang PRU-15 sebagai satu pasukan yang utuh.

Kekuatan ini hanya boleh digemblengkan jika mereka bersedia bertolak ansur, berkompromi dan menghormati antara satu sama lain. Jangan biarkan orang Melayu berpecah belah kerana ‘perebutan kerusi’ ini. Apa gunanya menang kerusi tetapi kesudahannya kuasa milik orang lain juga kerana kita tidak cukup bilangan bagi menubuhkan kerajaan?

Sebab itulah setiap pemimpin dan ahli ketiga-tiga parti tersebut perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan dan barisan kepemimpinan tertinggi masing-masing untuk berunding serta mencari jalan penyelesaian dalam isu pembahagian kerusi berdasarkan situasi ‘menang-menang’ bukannya ‘’aku tak dapat, kau pun tak kan menang’’.

Mungkin apa yang diperkatakan ini tidak akan menyenangkan banyak pihak tetapi terimalah hakikat, orang Melayu tidak boleh lagi berpecah belah. Jalan sudah terbentang luas apabila UMNO, Pas dan Bersatu bersama-sama dalam kerajaan PN.

Keharmonian kesepakatan ini harus dipertahankan untuk memastikan kuasa politik orang Melayu kembali diperkukuhkan yang sudah pasti sekaligus akan memberi manfaat kepada kaum-kaum lain.

Imam al-Qurtbi dalam tafsirnya menyatakan:

‘’Sesungguhnya Allah Taala memerintahkan dengan kesatuan dan melarang daripada perpecahan. Sesungguhnya perpecahan itu adalah kehancuran dan jemaah (kesatuan) itu adalah selamat (kejayaan).’’

Semoga Allah memberi hidayah kepada semua pemimpin-pemimpin terlibat mencapai kesepakatan demi kepentingan ummah dan rakyat keseluruhannya.

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan