30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Projek runding terus manifesto PH ‘makan diri’ – Pemuda Pas

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pemberian projek secara runding terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menunjukkan gabungan politik itu ‘termakan’ dengan kata-kata sendiri yang bertentangan dengan aspirasi  mereka semasa pilihan raya umum lalu.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, PH sebelum ini lantang memperjuangkan supaya semua projek dilaksanakan melalui tender terbuka bagi mengelak unsur rasuah namun keadaan sebaliknya berlaku apabila mereka menjadi kerajaan.

“Biarlah pendedahan semalam menjadi iktibar kepada semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang supaya tidak melampau dalam mengutarakan janji-janji, tanpa memahami keadaan dan realiti sebenar. 

“Bimbang akhirnya kita diberi kuasa dan berhadapan dengan situasi sebenar, akhirnya kita termakan dan terpaksa menjilat kata-kata sendiri. Semoga ianya menjadi pengajaran agar kita tidak berlebihan dalam mengecam atau membenci sesuatu,” kata Afnan Hamimi dalam satu kenyataan, hari ini.

Afnan Hamimi menjelaskan, Dewan Pemuda Pas Malaysia mengikuti rapat pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan ketika pemerintahan PH.

Menurutnya, berdasarkan garis panduan 7.15 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia-Perolehan Kerajaan, rundingan terus boleh diadakan jika berasaskan enam kriteria.

Kriteria itu ialah, terdapat keperluan mendesak; bagi maksud penyeragaman; hanya satu punca bekalan; perkara melibatkan keselamatan; perkara melibatkan strategi; dan kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera.

“Pemuda Pas berpendirian bahawa rundingan terus adakalanya dibolehkan selagi mengikut kriteria yang digariskan di dalam garis panduan dan pekeliling,” katanya.

Menurut Afnan, segala unsur rasuah yang boleh berlaku dalam rundingan terus projek wajib dicegah dan dielakkan sama sekali. 

Ujarnya, sekalipun rundingan terus dibenarkan, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan ketidaktelusan dalam agihan projek kerajaan. Semoga Malaysia terus terpelihara dari unsur rasuah dan salah guna kuasa. 

“Oleh yang demikian, Pemuda Pas menegaskan bahawa Menteri Kewangan perlu mendedahkan semua senarai syarikat atau mereka yang terlibat di dalam rundingan terus ini supaya ketelusan dapat direalisasikan di dalam pentadbiran Perikatan Nasional,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan