32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Padah terlupa, kanak-kanak 4 tahun maut tertinggal dalam kereta

Mesti Baca

SUNGAI PETANI – Angkara terlupa, seorang bapa di sini kehilangan anak perempuannya buat selama-lamanya selepas kanak-kanak itu maut dipercayai akibat sesak nafas setelah ditinggalkan di dalam kereta di Bukit Makmur, Sungai Lalang di sini semalam.

Mangsa berusia empat tahun dikatakan tertinggal di dalam kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan tempat kerja bapanya hampir 10 jam.

Menuri Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Bapa mangsa berusia lingkungan 30-an terlupa anaknya berada di dalam kereta lalu meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta dimatikan dan tingkap bertutup,” katanya yang dipetik Kosmo Online.

Adzli berkata, sebelum kejadian, lelaki itu telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu di sini dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur.

“Dia terlupa seorang lagi anaknya sedang tidur di  tempat duduk belakang yang mana lelaki itu sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir di sini,” ujarnya.

Menurut Adzli, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian memandu lori ke kawasan Sungai Petani, Baling, Sik dan beberapa lokasi lain.

“Dia pulang ke kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan pada pukul 4.30 petang.

“Ketika mahu pulang kira-kira pukul 6.30 petang, lelaki itu menemui anak keempat daripada lima beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” katanya.

Ujar beliau, bapa mangsa terus menghubungi MERS 999 untuk memaklumkan kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat pada pukul 10 pagi ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan