32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

1,000 jemaah selesaikan ibadah haji tanpa dijangkiti Covid-19

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tahniah, Arab Saudi. Mungkin itulah perkataan paling sesuai untuk dilafazkan apabila kira-kira 1,000 jemaah termasuk rakyat Malaysia menyelesaikan ibadah haji musim ini, semalam tanpa dijangkiti wabak Covid-19.

Kejayaan itu adalah hasil persiapan awal pemerintah Arab Saudi yang bertungkus lumus memastikan pelaksanaan rukun Islam kelima itu oleh jemaah haji terpilih tidak diancam pandemik tersebut.

Jemaah berdoa ketika berwukuf di Arafah.

Berikutan itu berbanding 2.5 juta jemaah tahun lalu, pada tahun ini hanya 1,000 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan ibadah berkenaan. Daripada jumlah itu 70 peratus adalah ekspatriat yang menetap di Arab Saudi manakala 30 peratus adalah warga tempatan.

Sejak awal ketibaan mereka di Jeddah lagi, kesemua jemaah yang diberikan layanan istimewa atau bertaraf VIP.

Tahap keselamatan kesihatan mereka diberikan keutamaan tertinggi dengan diwajibkan menjalani setiap prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Mereka juga ditempatkan di hotel-hotel, menaiki bas khas dan dikawal rapi oleh petugas-petugas.

Penggunaan payung berwarna untuk memudahkan urusan pembahagian kumpulan.

Sesiapa juga menyaksikan siaran secara langsung perjalanan ibadah haji tahun ini, kita dapat melihat bagaimana kesemua jemaah melaksanakan rukun haji dengan normal baru iaitu penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Namun ia tidak mengganggu ibadah mereka yang dapat kita saksikan bagaimana khusyuk mereka ketika melaksanakan rukun-rukun haji.

Air mata yang menitiskan di hadapan Kaabah dan berdoa ketika wukuf di Arafat membuktikan betapa bersyukur mereka kerana menjadi tetamu Allah dengan layanan paling istimewa yang mungkin mereka sendiri tidak pernah mengimpikannya. Segalanya ketentuan Allah SWT.

Jemaah perlu mematuhi SOP yang sepanjang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud melahirkan penghargaan dan pujian kepada petugas-petugas haji negara itu yang berjaya menguruskan pelaksaan ibadah haji tahun ini dengan jayanya.

Titah baginda, menguruskan pelaksanaan ibadah itu dalam keadaan dibayangi pandemik Covid-19 memerlukan petugas-petugas melakukan usaha berganda biarpun jumlah jemaah berkurangan.

Dan ternyata petugas-petugas tersebut melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan sehingga memastikan semua jemaah berjaya melaksanakan ibadah tersebut tanpa dijangkiti Covid-19.

Kejayaan itu juga hasil kerjasama diberikan oleh jemaah yang perlu menjalani kuarantin di rumah tujuh hari sebelum menjalankan ibadah haji dan sekali lagi menjalani pengasingan di rumah selepas menyelesaikan ibadah itu.

Apapun ibadah haji tahun ini mencatatkan sejarah berikutan ancaman pandemik Covid-19 dan sesungguhnya 1,000 jemaah terpilih amat beruntung kerana berpeluang menunaikan ibadah tersebut ketika jutaan umat Islam berdoa untuk menjalankan ibadah berkenaan.

Semoga ancaman pandemik Covid-19 segera berakhir supaya umat Islam seluruh dunia dapat kembali menunaikan umrah dan haji. AMEEN. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan