SAO PAULO – Seorang wartawan wanita Cable News Network (CNN) di Brazil berdepan detik cemas apabila dia dirompak seorang lelaki gelandangan semasa sedang bersiaran langsung.
Mail Online melaporkan, Bruna Macedo dan rakan sekerjanya sedang membuat siaran langsung mengenai paras air Sungai Tete dekat Bandeiras Bridge, Sao Paulo, Sabtu lalu berikutan hujan lebat melanda kawasan itu.
Semasa segmen itu ke udara, suspek dirakam berada di belakang mangsa yang ketika kejadian bercakap dengan seorang lagi penyampai berita, Rafael Colombo.
Dua minit berselang, lelaki itu menghampiri wartawan CNN terbabit sebelum mengeluarkan sebilah pisau.
Macedo yang terkejut kemudiannya menyerahkan dua telefon bimbitnya kepada suspek yang kemudiannya melarikan diri.
Sementara itu, Colombo menjelaskan, Macedo tidak mengalami sebarang kecederaan dan segera kembali ke pejabat selepas insiden tersebut.
“Dia berdepan pengalaman yang menakutkan, namun dia baik sahaja,” kata Colombo kepada akhbar Brazil, Folha de Sao Paulo. – Agensi