34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Utusan diterbitkan semula, bekas kakitangan tetap berduka

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang dihentikan penerbitan sejak Oktober tahun lalu akan diterbitkan semula mulai 20 Julai ini di bawah syarikat penerbitan baharu.

Kedua-dua akhbar itu sebelum ini diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad sebelum syarikat penerbitan yang berusia 80 tahun ini diisytihar bangkrap oleh pihak pengurusan.

Akhbar tersebut akan kembali menemui pembaca di bawah penerbitan Media Mulia Sdn Bhd, sebuah syarikat baharu yang dikaitkan dengan syarikat yang turut menguasai gergasi media Kumpulan Media Prima.

Walaupun ramai yang gembira apabila akhbar yang menjadi nadi perjuangan orang Melayu itu akan diterbitkan semula, namun sebahagian besar bekas kakitangan Utusan Melayu masih berduka kerana hilang pekerjaan dan tiada sebarang pembayaran pampasan diterima sehingga kini.

Seorang bekas kakitangan Utusan, Abdul Jalal berkata, penerbitan semula Utusan Malaysia dan Kosmo! tidak membawa apa-apa makna baginya.

“Terbitpun dah tak bermakna buat kita semua, hilang pekerjaan hingga sekarang masih teraba-raba mencari sumber pendapatan baharu… menyakitkan hati sahaja,” katanya.

Media Mulia hari ini mengadakan sesi pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook akhbar tersebut.

Seorang lagi bekas kakitangan yang enggan dikenali berkata, sejak diberhentikan Utusan dia langsung tidak mempunyai minat untuk membaca akhbar.

“Banyak sumber lain untuk dapat berita. Jadi kalau mereka mahu terbitkan semula, kami langsung tidak peduli,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, seorang lagi bekas kakitangan syarikat tersebut berkata, sayangnya kepada Utusan bermakna mereka sayang kepada syarikat Utusan Melayu.

“Bila syarikat mati, akhbar Utusan dan Kosmo! di bawah syarikat baharu, setakat boleh tengok-tengok, dengar khabar dan jeling-jeling sahaja. Tiada apa lagi yang hendak dibanggakan,” katanya.

Bagi Hazrin Shah (bukan nama sebenar), akhbar Utusan sudah mati bersama-sama dengan syarikat Utusan Melayu dan penerbitan baharu ini adalah jelmaannya sahaja.

Namun, terdapat juga bekas kakitangan yang masih berharap agar akhbar tersebut dapat meneruskan perjuangan sepertimana ketika di bawah Utusan Melayu dahulu.

Dianggar hanya kira-kira 50 daripada 800 bekas kakitangan Utusan yang hilang pekerjaan ekoran penutupan Utusan Melayu diterima semula bekerja di bawah Media Mulia.

Manakala selebihnya masih menuntut bayaran pampasan daripada syarikat liquidator, yang menguruskan proses penjualan aset syarikat Utusan Melayu selepas syarikat itu diisytihar muflis. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan