KUALA LUMPUR – Kluster Sri Petaling atau kluster terbesar jangkitan Covid-19 di Malaysia disahkan telah tamat selepas tidak lagi mencatatkan sebarang kes baharu.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media kementerian mengenai Covid-19, hari ini.
Kata beliau, kluster perhimpunan di Masjid Seri Petaling tamat selepas tidak lagi mencatatkan sebarang kes Covid-19 berkaitan dengan majlis itu.
“Kluster berkenaan mula dikesan pada 11 Mac lalu dan sudah menjangkiti seramai 3,375 individu yang menyertai perhimpunan berkenaan termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.

Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 pertama kluster itu dilaporkan seminggu selepas perhimpunan berakhir, iaitu kes ke-131 dan kes ke-136.
“Sehingga 8 Julai lalu, seramai 42,023 individu sudah disaring, daripada jumlah berkenaan 3,375 kes positif dilaporkan iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia.
“Kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh negeri membabitkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 negara.
Kementerian Kesihatan (KKM) hanya dimaklumkan mengenai kewujudan kes membabitkan perhimpunan peserta tabligh di Masjid Sri Petaling itu, lapan hari selepas perjumpaan itu, iaitu pada 9 Mac lalu.
Ketika itu, kebanyakan peserta tabligh sudah pulang ke kampung halaman atau ke luar negara.
Berikutan kewujudan kluster Sri Petaling, Kementerian Kesihatan memulakan tindakan bersepadu dengan semua pihak mengesan dan mengawal penularan jangkitan dalam kalangan jemaah.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak tiga kes jangkitan Covid-19 direkodkan di seluruh negara hari ini dengan sifar kes tempatan buat dua hari berturut-turut.
Pertambahan tiga kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia ialah 8,677 dengan 121 kematian. – Edisi 9