26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

UMNO bukan talian hayat mana-mana parti politik, pemimpin

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

JOHOR BAHRU – UMNO bukanlah parti politik yang menjadi talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti politik atau pemimpin tertentu, sebaliknya parti itu merupakan talian hayat bagi orang Melayu.

Justeru Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu tidak akan membiarkan dirinya dihukum sekali lagi seperti mana berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Berikut kenyataan penuh Mohamed Khaled seperti dipetik dari MalaysiaKini :

Pada 6 Mac 2019, Wan Saiful Wan Jan, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata bahawa gabungan UMNO-Pas tidak akan kekal.

Beliau berkata “penyatuan UMNO dan Pas juga tidak nampak keupayaannya untuk kekal kerana asas perjuangan yang tidak kukuh disebabkan bermain isu agama dan bangsa yang tidak baik untuk negara.”

Semalam, Wan Saiful bersuara lagi. Kini, beliau menyeru pula kononnya UMNO mestilah bersedia berkorban demi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Seruan ini tidak lain kerana beliau tahu hanya UMNO dan Pas? yang boleh menyelamatkan Bersatu.

Demikianlah pentas politik Malaysia yang dibanjiri mereka yang pelbagai ragam, karakter dan perspektif. Malangnya, bukan dengan cara yang menguntungkan.

Politik Malaysia sangat memerlukan mereka yang berpandangan jauh, tidak gelojoh dengan kuasa, menjaga lisan dan selalu mengutamakan misi yang lebih besar. Bukan ‘amatur’ yang pendirian dan pandangannya sentiasa berubah-ubah mengikut laras kuasa dan bukannya perjuangan.

Malah, pendirian dan prinsip mereka bertukar dan berubah lebih pantas daripada Covid-19 merebak.

Benar, UMNO adalah parti yang sedia berkorban untuk rakan politiknya. Telah puluhan kali UMNO berkorban memperkuatkan rakan dalam BN. Memberikan mereka ruang bertanding di kawasan yang paling boleh dimenangi oleh UMNO.

Malah, dalam banyak keadaan, UMNO adalah parti yang sentiasa berkongsi sumber, tenaga dan kepimpinan untuk memastikan keluarga besar BN bertahan.

Tetapi setelah tewas dalam PRU14, UMNO dewasa dengan pengalaman. UMNO kenal benar siapa lawan dan siapa kawan. UMNO tahu siapa yang bersetia dengannya dan siapa yang sekadar mencari kehidupan dan keuntungan sahaja daripada UMNO.

Advertisements

UMNO sekarang memilih hanya untuk berkorban demi agama, bangsa Melayu dan tanah air. Ini satu-satunya misi UMNO. Jika UMNO mengabaikan misi ini, orang Melayu dan rakyat Malaysia akan menolaknya. Jadi, UMNO tidak akan membiarkan dirinya dihukum sekali lagi.

Yang pasti, UMNO bukan talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti, atau mana-mana ahli politik, atau mana-mana pemimpin. UMNO adalah talian hayat untuk orang Melayu.

Jadi, Bersatu itu yang harus berkorban dan bekerja untuk membangunkan kekuatannya sendiri terlebih dahulu sebelum PN boleh dikuatkan. Bukan menuntut pengorbanan daripada UMNO.

Untuk menjadi rakan strategik UMNO, Bersatu mesti mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menghasilkan manfaat menang-menang kepada UMNO.

UMNO tidak akan berkorban untuk memberi nyawa kepada mereka yang meninggalkan UMNO semasa parti ini tewas dan terjatuh parah. Kepada mereka ini, UMNO mungkin memaafkan tetapi tidak akan melupakan.

Adalah lebih baik bagi UMNO menumpukan kekuatan dan tenaganya untuk meyakinkan lebih ramai orang Melayu menyertai misinya daripada memikirkan hal mereka yang pernah mencemuh, mencaci dan membenci UMNO.

UMNO bukan untuk sesetengah elit atau mereka yang berasa koridor kuasa adalah milik mutlaknya. UMNO adalah untuk orang Melayu dan negara Malaysia yang lebih baik. Tanpa mereka ini, UMNO akan terus hidup. Tetapi, tanpa UMNO kita tidak pasti apa masa depan mereka.

UMNO sedar dan insaf, kelangsungannya adalah pada undi orang Melayu dan bukan Melayu. Bukan pada kerjasama politik yang bersifat sementara di peringkat yang tidak pun mewakili keseluruhan parti.

UMNO membuka ruang kepada Bersatu untuk menyertai misi besarnya. Ini ajakan yang ikhlas dan tulus.

Mungkin sudah tiba masanya Bersatu yang perlu berkorban demi orang Melayu dengan menyertai UMNO dan bersama-sama menguatkan BN.

Pilihannya jelas. Terpulanglah.

MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan