24.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Terus pertahan pendirian, Mahathir sepi tanpa DAP?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

IMBAS kembali… Pada Perhimpunan Agung UMNO 1998, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata:

“Jika terjejas kedudukan dan kekuasaan orang Melayu sebabnya ialah kumpulan minoriti ini tidak mahu mengikut majoriti. Demikianlah degil mereka sehingga mereka sanggup bekerjasama dengan DAP untuk menghancurkan kedudukan dan kekuasaan orang Melayu melalui UMNO.”

Pada 2 Mei 2013, Mahathir menegaskan, “Itu sebab bila DAP kata Malaysia hanya untuk orang Melayu, saya kata dia rasis.”

Bagaimanapun pada 4 Disember 2016, ketika menghadiri Persidangan DAP di Shah Alam, Mahathir membela parti itu mengatakan, “DAP adalah multiracial party dan mempunyai sikap ‘kemalaysianan’ lebih daripada MCA.”

Kelmarin, Mahathir terus mempertahankan DAP apabila menegaskan, beliau tiada alasan untuk menolak Pakatan Harapan (PH) walaupun ada cakap-cakap DAP menguasai gabungan parti pemerintah ketika itu.

Dalam satu klip video dimuat naik dalam media sosial, Mahathir yang juga pengasas bersama PPBM berkata, DAP tidak mungkin dapat menguasai PH kerana beliau tidak akan membenarkannya.

Sebelum itu pada 11 Mei lalu pula, Ahli Parlimen itu mendedahkan beliau tidak boleh menerima alasan Tan Sri Muhyddin Yassin bahawa orang Melayu akan dihancurkan DAP sekiranya Bersatu terus kekal bersama Pakatan PH.

Ternyata Mahathir begitu ‘menyayangi’ DAP dan mungkin berasa sepi kerana sahabat baik politiknya itu sudah tidak lagi menjadi kerajaan bersama, justeru tidak hairanlah PH gagal mencapai kesepakatan berhubung siapa Perdana Menteri jika pakatan itu kembali berkuasa.

Seperti mana dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini baru-baru ini yang memetik sumber Amanah dan DAP menyatakan, sebilangan ahli Parlimen mereka kini lebih cenderung kepada Mahathir berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, PH yang kini dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah memiliki 92 kerusi iaitu PKR (39), DAP (42) dan Amanah (11). Mahathir pula hanya memiliki 5 kerusi Parlimen Bersatu termasuk beliau dan pasti disokong oleh Parti Warisan yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (9 kerusi).

Walaupun digembar-gemburkan kononnya kesepakatan sudah dicapai antara Mahathir dan Anwar, ia hakikatnya hanyalah ‘omong kosong’ yang bertujuan menggugat kestabilan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Pendirian Mahathir menolak sebarang pandangan bahawa DAP boleh menguasai PH membuktikan bekas Perdana Menteri tersebut yang setiap Jumaat memasuki pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, amat mempertahankan hubungan dengan parti berkenaan.

Advertisements

Walaupun tindakan Muhyiddin tidak mahu terus berkawan dengan DAP mendapat sokongan majoriti ahli Bersatu namun Mahathir tidak berganjak daripada pendiriannya terhadap parti yang satu ketika dianggapnya rasis itu.

Mahathir tahu dengan memiliki 42 kerusi Parlimen, DAP mempunyai kekuatan termasuk menjadi penentu siapa yang akan mereka sokong untuk menjadi Perdana Menteri.

Walaupun Anwar pernah menyatakan bahawa PH sudah sepakat beliau menjadi Ketua Pembangkang tetapi ia bukanlah jaminan beliau akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Lanjutan itu timbulnya dakwaan sokongan DAP kepada Anwar semakin berkurangan kerana mereka kini menyebelahi Mahathir walaupun ahli politik berusia 95 tahun itu bukan lagi berada dalam PH.

Biarpun Mahathir menegaskan, beliau tidak akan membenarkan DAP menguasai pakatan tersebut tetapi tempoh 22 bulan mereka memerintah, rakyat boleh menilai siapa paling dominan dalam PH.

Ketika mengulas kenyataan terbaru Mahathir itu, seorang pemerhati politik berkata, “Mahathir mungkin berasa sunyi tanpa DAP kerana ketika dalam kerajaan dahulu, kita tahu hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin DAP sehingga ada yang bertanya adakah parti itu sudah menjadi ‘kiblat’ politiknya?”

Sikap Mahathir itu telah menyebabkan dalam media-media sosial, pelbagai pihak membuat cadangan supaya Mahathir menyertai sahaja DAP dan tidak terus berusaha kembali ke dalam Bersatu kerana beliau sudahpun tergugur keahliannya, walaupun Mahathir menganggap pengguguran itu tidak sah.

Cadangan seumpama itu nampak aneh tetapi ia bukanlah mustahil memandangkan Mahathirpun sudah mengiktiraf DAP sebagai parti berbilang kaum.

“Dalam keadaan Mahathir sudah ada masalah dengan Bersatu – parti itu pun hanya untuk satu kaum, mungkin DAP sesuai untuk beliau kerana Mahathir pernah kata, parti itu pelbagai kaum dan mengkritik MCA kerana hanya disertai satu kaum sahaja,” kata seorang pemimpin Bersatu kepada penulis ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik yang juga ahli perniagaan berkata, memang betul DAP tidak akan menguasai PH secara terbuka atau menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi DAP tahu dengan menyokong Mahathir, mereka boleh terus menguasai Kementerian Kewangan.

“Peluang itu mungkin tidak akan diperolehi jika Anwar menjadi Perdana Menteri kerana Ahli Parlimen Port Dickson tersebut mungkin akan kembali memegang portfolio tersebut atau melantik orang lain ke jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, Mahathir supaya jangan terlalu banyak mahu mempertahankan DAP kerana rakyat khususnya orang Melayu sudah cerdik untuk menilai apa yang berlaku sepanjang PH berada di Putrajaya.

Kesimpulannya, Mahathir boleh meneruskan politiknya mempertahankan DAP tetapi pada masa sama beliau dan parti yang beliau sertai juga harus bersedia kehilangan sokongan orang Melayu.

Situasi politik sekarang bukan seperti mana sebelum PRU-14, ia sudah berubah secara total, kalau Mahathir mahu buktikan ia betul atau tidak, usah buang masa mempertahankan DAP, sebaliknya desak sahaja pembubaran Parlimen kemudian kita sama-sama tengok hasilnya.

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan