Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
TIDAK dinafikan pihak pembangkang sebenarnya memainkan peranan dan fungsi penting dalam membina dan memacu kecemerlangan sesebuah negara.
Ini kerana setiap kritikan dan teguran yang baik daripada blok pembangkang mampu mewujudkan situasi ‘check and balance’ demi memastikan kuasa atau sebarang keputusan kerajaan tidak mendatangkan kesan buruk kepada negara dan paling utama rakyat.
Namun hari ini, timbul persoalan apabila bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik membuat kenyataan melahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan memendekkan tempoh cuti persekolahan akhir tahun 2020.
Apa motif sebenar beliau adakah benar-benar mahu menyelamatkan `cuti’ guru? atau sekadar cuba mencari sokongan politik atau cuba mencuri tumpuan menjadi hero dengan menjadikan keputusan tersebut sebagai isu.
Bahkan jika diteliti, keputusan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan itu diambil bertujuan bagi menggantikan tempoh pengajaran dan pembelajaran yang terhenti ekoran penutupan sekolah sepanjang PKP akibat penularan virus Corona-19 (Covid-19).
Pastinya, keputusan tersebut dibuat demi kebaikan murid-murid dan pelajar yang rata-ratanya banyak ketinggalan dalam pembelajaran akibat penutupan sekolah sejak berbulan lalu.
Keputusan itu bertepatan dan selari dengan hasrat kerajaan untuk melonjakkan semula semua industri dan bidang yang dilihat terjejas akibat penularan virus pandemik.
Pendekatan berkenaan bertujuan bagi memulihkan negara dalam semua aspek termasuk pendidikan.
Malah sebelum ini, ada sahaja sekolah ganti yang terpaksa dibuat pada hujung minggu atas sebab tertentu termasuk perbezaan takwim cuti persekolahan dengan cuti umum nasional.
Tiada pun guru dan murid yang mengeluh kerana ia sememangnya kebiasaan dan amalan dalam sistem pendidikan di negara ini demi memastikan murid tidak ketinggalan dalam aspek pembelajaran manakala guru mempunyai jadual dan silibus yang wajib diselesaikan.
Malah di Singapura, cuti persekolahan di negara yang telah ditetapkan pada tarikh sepatutnya diputuskan supaya dibawa ke hadapan sebagai ganti sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Cuti sekolah yang dijadualkan pada Jun telah digunakan pada bulan Mei. dalam bahasa mudah tiada lagi baki cuti pada tarikh ditetapkan sekali gus sekolah akan dibuka semula selepas pengumuman penamatan sekolah di negara republik itu.
Maka adalah kurang bijak bagi seorang bekas menteri ‘pendidikan’ perlu rasa kecewa dengan keputusan berkenaan.
Banyak lagi, teguran dan kenyataan yang lebih cerdik boleh dibuat beliau jika mahu mengkritik demi tujuan membina dan membela.
Contoh seperti cadangan dan kaedah baharu bagaimana kerajaan boleh mengurangkan beban kerja guru seperti diperjuangkan beliau `separuh jalan’.
Atau tampil dengan mengemukakan kaedah efektif bagaimana guru dan murid dapat kembali semula ke landasan sepatutnya selepas banyak yang ketinggalan akibat penutupan sekolah ini.
Atau apa sahaja cadangan yang akan memberi manfaat kepada warga pendidik dan murid serta pelajar termasuk sistem pendidikan negara ini.
Dengan cara itu, beliau mungkin akan dilihat lebih cerdik dan paling pastinya dihormati bukan sahaja dalam blok pembangkang malah barisan Kabinet.
Apapun paling penting, cukup-cukuplah daripada mencari isu remeh untuk dijadikan modal politik.
Kalau direnung kembali, mungkin ini ‘stail menteri kasut hitam’. Cadangan yang baik tetapi huru hara satu negara sampai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga terpaksa mengulas isu tersebut.
Dr. Mahathir sehinggakan terpaksa mengeluarkan kenyataan “Anda boleh memakai kasut coklat, hitam, kelabu, putih atau kasut apa sahaja”. Semuanya gara-gara Maszlee.
Dalam isu ini, jika benar guru tidak berpuas hati, mereka ada saluran bagi menyuarakan gesaan mereka melalui kesatuan sedia ada. Tidak perlulah Maszlee membangkit soal dihujani whatsapp guru marah sebab tidak dapat cuti.
Diharapkan, selepas ini Maszlee dapat tampil dengan idea-idea lebih padu dan tajam jika benar mahu dihargai.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9